Tasik Bukit Merah susut, 12,400 hektar sawah dikhuatiri terjejas
BAGAN SERAI - Tanaman padi seluas 12,400 hektar di kawasan Gunung Semanggol dan Selinsing bakal terjejas jika paras air di Tasik Bukit Merah terus mencatatkan penurunan susulan cuaca kering yang berlaku ketika ini.
Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, jumlah keluasan itu membabitkan seramai 4,720 pesawah yang kini hanya bergantung kepada air disalurkan sebelum ini.
Menurutnya, ketika ini umur padi di kawasan itu sekitar 20 hingga 40 hari yang sangat memerlukan air bagi memastikan tanaman tidak terjejas.
"Dalam tempoh seminggu dua ini, jika tiada hujan dan keadaan kering-kontang, bekalan dari Tasik Bukit Merah akan terus dihentikan. Inilah yang akan menyebabkan kawasan seluas 12,000 hektar berpotensi terjejas.
"Kita telah menghantar surat kepada Jabatan Meteorologi bagi melakukan pembenihan awan.
"Ketika ini Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sedang melihat kesesuaian untuk melakukan pembenihan awan itu dengan segera," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Program Solat Sunat Hajat dan Solat Sunat Istisqa di Pusat Informasi Empangan Bukit Merah di sini pada Jumaat.
Menurutnya, melalui pembenihan awan itu diharap hujan akan berlaku bukan sahaja di kawasan sawah padi tetapi lebih utama di kawasan tadahan air Tasik Bukit Merah iaitu di Ijok dan Pondok Tanjung, Selama.
Dalam pada itu, Razman berkata, bagi mengelak masalah berulang, kerajaan negeri bersetuju untuk mengepam air dari Sungai Perak terus ke Tasik Bukit Merah.
Menurutnya, jika ia dilaksanakan, masalah kekurangan air bagi kegunaan pertanian, domestik dan industri dari tasik tersebut dapat diselesaikan.
"Bagi perancangan jangka panjang, Menteri Besar telah mengambil satu tanggungjawab mengarahkan Unit Pembangunan Ekonomi negeri supaya membuat satu kertas kerja mendapatkan bajet supaya kita dapat pam air dari Sungai Perak.
"Jadi, kita tak bergantung kepada hujan apabila bekalan air berterusan. Maka tidak timbul lagi soal penggunaan domestik mencukupi. Bagaimanapun, kos tersebut masih belum diketahui," katanya.
Beliau turut menjelaskan, kerajaan negeri tiada hasrat mewujudkan satu lagi kolam takungan air yang baharu sebagai tambahan kepada Tasik Bukit Merah bagi menampung keperluan air domestik.
Sementara itu, Solat Sunat Hajat dan Solat Sunat Istisqa disertai kira-kira 200 penduduk yang turut disertai Razman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!