MPS cari individu buang, bakar perabot di tapak sampah haram
GOMBAK - Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sedang mengesan seorang individu yang bertindak membakar perabot yang dibuang di lokasi tapak pembuangan sampah haram di Taman Berlian di sini.
Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, perbuatan tersebut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di hotspot pembuangan sampah itu pada 31 Mei lalu antara jam 10.17 malam hingga 10.30 malam.
Menurutnya, tindakan lelaki itu menyalahi Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan, Pelupusan Sampah Sarap MPS 2007.
"Individu tersebut didapati telah membuang secara haram sampah sisa pukal malah sampah pukal dipercayai perabot itu turut dibakar.
"Siasatan sedang dilaksanakan bagi mengesan individu berkenaan yang boleh dikompaun RM1,000 di bawah peraturan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mohamad Zin berkata, pemantauan terutama di kawasan hotspot lokasi pembuangan sampah haram akan diteruskan bagi mengelak kejadian sama berulang.
Beliau turut meminta orang ramai melaporkan sebarang aktiviti pembuangan sampah haram kepada MPS dengan menghubungi talian aduan bebas tol di 1 800 3636.
Pada masa sama, beliau mengingatkan orang awam supaya membuang sampah di tempat yang disediakan.
"Untuk pembuangan sampah pukal seperti perabot, kotak dan sebagainya, orang ramai boleh meletakkannya di hadapan rumah masing-masing dan kutipan akan dilaksanakan KDEBWM satu kali seminggu mengikut jadual.
"Bagi sisa hasil perniagaan seperti perabot, palet kayu, kotak dan sebagainya, peniaga perlu melantik kontraktor panel sisa industri bagi tujuan pelupusan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!