Guna kaedah Jepun atasi banjir kilat di KL
SHAH ALAM - Kerajaan berhasrat untuk menggunakan kaedah yang dipraktikkan di Jepun bagi mengatasi masalah banjir kilat di Kuala Lumpur.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, hasil lawatannya ke negara itu baru-baru ini, ada beberapa kaedah yang diguna pakai dan boleh diaplikasikan.
Menurutnya, tiga kaedah digunakan antaranya membina tembok di sepanjang Sungai Tokyo supaya air tidak melimpah keluar ke jalan apabila berlaku hujan lebat.
“Negara itu juga menggunakan sistem amaran awal, di mana trafik dilarang memasuki kawasan banjir sebelum berlaku hujan lebat.
“Selain itu, terowong atau kolam takungan dibina di bawah tanah bagi mengatasi masalah banjir kilat di bandar raya Tokyo bagi penyelesaian jangka panjang,” katanya, memetik akhbar mingguan Wilayahku.
Mengulas lanjut, Shahidan berkata, agak sukar untuk membina tembok di sepanjang kawasan sungai kerana ia memakan masa yang agak lama.
Bagaimanapun katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membina beg pasir yang mampu bertahan selama dua bulan dan menampung limpahan air sungai sewaktu hujan lebat.
“Kita juga sediakan pam di 25 lokasi 'hot spot' bagi memastikan air longkang dapat mengalir sepenuhnya apabila berlaku hujan lebat.
“Sebelum ini kita mengambil masa sehingga setengah jam untuk mengeluarkan air bertakung tapi melalui kaedah ini, hanya lima hingga 10 minit masa diambil,” katanya.
“Penggunaan sistem amaran awal yang digunakan di Jepun juga akan dijadikan sebagai panduan untuk pihak DBKL menguruskan kawasan yang ditenggelami banjir kilat,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!