PM wajar pertimbang nama dihantar Muhyiddin ganti Zuraida
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob wajar mempertimbangkan cadangan nama-nama yang dihantar oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menggantikan tempat Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin dalam parti tersebut.
Ketua Penerangan Pemuda (Armada) Bersatu Selangor, Mukriz Azhari berkata, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang termasuk dalam nama dicadangkan wajar diangkat sebagai senator dan menganggotai kabinet.
Menurutnya, Wan Saiful adalah antara calon paling popular diperkatakan dan didakwa berada di tangga pertama senarai mendahului Naib Ketua Srikandi Bersatu Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan dua calon lain.
"Berbanding Mas Ermieyati yang menyandang jawatan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Parlimen), Wan Saiful dilihat lebih sesuai diangkat kerana belum diuji keupayaan, karisma dan kredibilitinya di peringkat Persekutuan.
"Jawatan beliau sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang didakwa akan tamat tempoh perkhidmatan dalam masa terdekat ini menguatkan desas-desus berkaitan pelantikan ke kabinet Ismail Sabri.
"Rekod pencapaian cemerlang di PTPTN dengan caruman tertinggi walau berdepan kesukaran akibat pandemik menunjukkan keupayaan Wan Saiful boleh diharap memimpin organisasi dengan misi lebih besar di persekutuan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, Mukriz berkata, Wan Saiful juga sering turun ke lapangan serta dikenali di akar umbi parti sebagai nama yang meningkat naik bagi mengatur pengurusan makro dan mikro.
Ujarnya, Wan Saiful yang digelar anak emas Muhyiddin juga kerap diberi peranan penting dan tugas-tugas besar sebagai salah seorang G5 Bersatu.
"Dengan sumber terhad dan kekurangan tenaga kerja, beliau dilihat mampu menunaikan tanggungjawab dengan cemerlang serta sering mengundang pujian banyak pihak.
"Berbekalkan rekod bersih, beliau berkeupayaan tinggi, memiliki jaringan antarabangsa yang luas, kecemerlangan prestasi kerja, integriti tinggi dan disenangi rakyat.
"Sebenarnya inilah terjemahan nilai Aspirasi Keluarga Malaysia yang Ismail Sabri ilhamkan - Bersih, Beramanah dan Bermaruah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!