'PRU15 sudah sampai tempoh matang untuk dilaksanakan'
PONTIAN - Tidak timbul desakan berhubung Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu segera dilaksanakan kerana ia sudah sampai tempoh matang untuk diadakan, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Menurutnya, tempoh matang sejak PRU14 iaitu empat tahun sudah berlalu dan kini memasuki tahun terakhir iaitu tahun kelima sebelum Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU15.
"Bukan isu mempercepatkan PRU15, tetapi tempoh PRU diadakan sudah tiba. Itu yang perlu difahami.
Dari hari mengundi pada PRU14 iaitu pada 9 Mei 2018 hingga 9 Mei 2022 kini sudah masuk empat tahun.
"PRU15 tidak lebih daripada tempoh lima tahun selepas PRU14. Memang tempoh sedia ada sudah matang bagi PRU diadakan," katanya ketika ditemui selepas penyampaian sumbangan kepada bakal jemaah haji di sini pada Jumaat.
Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini dilapor mempersoalkan tindakan parti politik tertentu yang sering mendesak untuk mengadakan PRU15 dalam tempoh terdekat.
Ia selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan tidak akan melewatkan sedikit pun masa untuk mengadakan PRU15.
Justeru, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian meminta semua jentera parti menggunakan pengalaman berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Melaka dan Sabah sebelum ini untuk berdepan dengan PRU15.
"Kita beruntung kerana jentera parti telah dilatih secara praktikal dalam tiga PRN yang dilaksanakan sebelum ini.
"Mereka telah berdepan dengan realiti sebenar pilihan raya. Jadi tindakan bawa sebanyak mungkin jentera turun ke PRN sebelum ini adalah strategi 'mujarab'," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!