Luluh hati lihat anak meninggal depan mata

Keadaan kereta yang terbabit dalam nahas rempuhan treler hingga mengorbankan dua beradik dekat Kampar awal pagi Jumaat. Gambar kecil: Jaafar
Keadaan kereta yang terbabit dalam nahas rempuhan treler hingga mengorbankan dua beradik dekat Kampar awal pagi Jumaat. Gambar kecil: Jaafar
A
A
A

TAPAH - Luluh hati seorang lelaki apabila usaha menyelamatkan empat anaknya keluar dari kereta gagal hingga mengakibatkan dua daripada mereka terkorban akibat dirempuh sebuah treler dalam satu kejadian di Kilometer 310.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Kampar pada Jumaat.

Jaafar Ahmad, 49, berkata, ketika kejadian, dia bersama tunangnya berada di luar kereta bagi membantu mengeluarkan empat anaknya dari kenderaan itu selepas berlaku pelanggaran bersama sebuah lori.

Bagaimanapun menurutnya, keadaan pintu yang tersekat selain enjin kereta yang tidak boleh dihidupkan sedikit menyukarkan mereka.

"Ketika itu kereta saya berada di lorong kiri, keadaan jalan pula gelap sebab itu saya berusaha bawa keluar anak-anak dari kereta, tetapi pintu kereta pula susah dibuka.

"Selang satu ke dua minit, saya nampak sebuah treler meluru ke arah kereta kami, saya jerit dan mengangkat tangan sambil nyalakan lampu dari telefon bimbit minta berhenti dan perlahankan kenderaan, tetapi tak berjaya.

"Dalam sekelip mata sahaja, treler itu menghentam kereta yang di dalamnya ada anak-anak saya," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tapah di sini pada Jumaat.

Kejadian sekitar jam 2.30 pagi itu mengorbankan dua anak Jaafar iaitu Nurqalesya Adriana, 12, dan Muhammad Saiful Amry, 9, sementara dua lagi anaknya, Muhammad Yuszanizam, 14, dan Nur Airin Batrisya, 6, terselamat.

Jaafar berkata, rempuhan itu menyebabkan dia dan tunang tercampak ke bahu jalan, kereta pula berpusing sebelum berlaku pelanggaran kedua dengan treler yang sama.

"Saya hanya mampu menjerit memanggil anak-anak. Saya nampak dua anak saya dalam keadaan sedar tetapi kakak (Nurqalesya Adriana) dah tak sedarkan diri dengan keadaan badan tersepit.

"Aboy (Muhammad Saiful Amry) pula dalam keadaan berlumuran darah keluar dari mulut dan hidung, saya cuba pangku dia dan bawa keluar, tetapi tak boleh kerana kakinya telah tersepit," katanya.

Nurqalesya Adriana yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Pegang, Baling, Kedah disahkan maut di lokasi kejadian manakala Muhammad Saiful Amry meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tapah.

Ketika kejadian, Jaafar dalam perjalanan dari Baling untuk menghantar empat anaknya itu ke rumah bekas isteri di Bahau, Negeri Sembilan sempena cuti hujung minggu.

Jaafar berkata, Nurqalesya Adriana seorang anak yang periang serta aktif dalam aktiviti kokurikulum dan baharu saja memenangi acara lumba lari sekolahnya pada Khamis.

Katanya, anak kelima daripada tujuh beradik itu memang sangat rapat dengan adiknya, Muhammad Saiful Amry dan selalu pergi berdua sama ada untuk bermain mahupun ke kedai.

"Sejak berpisah dengan isteri, memang mereka tinggal bersama saya di Kedah.

Pernah sekali Aboy kata yang dia tak nak berpisah dengan kakaknya dan kalau boleh ke mana-mana nak ikut. Tak sangka, mereka betul-betul pergi berdua.

"Lebih memilukan mereka pergi di depan mata saya," katanya.

Sementara itu, abang mangsa, Muhammad Syazwan Jaafar, 19, berkata, dua beradik berkenaan teruja dan kelihatan gembira mahu bertemu dengan ibu mereka sehingga membawa beg baju yang besar seolah-olah mahu pergi jauh.

"Sebelum bertolak, mereka sempat salam dan cium tangan saya, mereka beritahu tak sabar nak jumpa mak sebab kali terakhir jumpa Disember tahun lepas," katanya.

Jenazah dua beradik berkenaan akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Kampung Lela, Kuala Pegang, Baling pada petang Jumaat sebaik proses bedah siasat selesai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!