Bekalan ayam Johor pulih dua minggu lagi
BATU PAHAT - Kerajaan negeri menjangkakan bekalan ayam di Johor pulih dalam tempoh dua minggu lagi selepas kekurangan bekalan baru-baru ini berikutan permintaan tinggi semasa musim perayaan Aidilfitri.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, masalah kekurangan bekalan ayam dijangka selesai susulan pendekatan kerajaan untuk melaksanakan sekatan eksport ayam segar ke luar negara berkuat kuasa 1 Jun lepas.
"Masalah bekalan ayam di negeri ini akan kembali kepada paras normal selepas musim perayaan ini dan ia selaras dengan usaha kerajaan,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Ladang Telur Teo Seng Capital, di Yong Peng, dekat sini yang turut dihadiri oleh Exco Kesihatan dan Perpaduan, Ling Tian.
Menurut Ting Han, semenjak skim kawalan harga maksimum ayam dikuatkuasakan pada Februari lepas di negeri itu, sebanyak RM101,300 kompaun telah dikeluarkan membabitkan 42 kes.
Dalam perkembangan lain, Ting Han berkata, orang ramai tidak perlu panik dengan bekalan telur di negeri ini kerana ia sentiasa mencukupi malah bekalan telur turut dikeluarkan melebihi permintaan.
"Saya dimaklumkan ladang telur di Yong Peng ini mampu mengeluarkan sehingga empat juta biji telur sehari dengan pelbagai gred, sedangkan permintaan pasaran telur dari ladang berkenaan hanyalah sekitar tiga juta biji sahaja untuk sehari,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!