Syukur diberi peluang kedua ke Makkah

Ahmad (tengah) menyerahkan sumbangan kepada Nurul Asyikin (kiri), Aminah (dua dari kiri), Nasir (dua dari kanan) yang merupakan bakal jemaah haji bagi Parlimen Pontian di sebuah restoran pada Jumaat.
Ahmad (tengah) menyerahkan sumbangan kepada Nurul Asyikin (kiri), Aminah (dua dari kiri), Nasir (dua dari kanan) yang merupakan bakal jemaah haji bagi Parlimen Pontian di sebuah restoran pada Jumaat.
A
A
A

PONTIAN - Seorang ibu kepada tiga cahaya mata menyifatkan peluang kedua untuk menunaikan haji sebagai rezeki istimewa buat dirinya selepas pernah menolak tawaran yang sama 10 tahun lalu.

Nurul Asyikin Zainal Abidin, 55, yang bekerja sebagai pegawai bank berkata, ia merupakan panggilan kedua selepas dia menolak tawaran kali pertama pada 2012 disebabkan tuntutan kerja.

"Saya masih terkejut apabila diberitahu pada Syawal ketiga saya terpilih untuk menunaikan haji. Pada masa sama juga terharu dan sebak kerana terpilih sekali lagi.

"Suami, Sabri Nawawi, 53, memberi keizinan dan bersyukur dengan peluang diberikan ini kerana pemilihan bakal haji kali ini tidak ramai," katanya yang turut mempunyai enam cucu.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan di sebuah restoran di bandar Pontian pada Jumaat.

Sementara itu, peniaga kain, Nasir Ahmad, 63, tidak menyangka dia dan isterinya, Aminah Mohd Ali, 60, turut terpilih untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

Jelasnya, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 2020, dia dan isteri ada menerima surat tawaran menunaikan haji namun tidak dapat dilaksanakan susulan penularan Covid-19.

"Selepas dua tahun tertangguh, akhirnya saya dan isteri diberi peluang sekali lagi ke Tanah Suci. Persiapan sudah dilakukan dan kami akan menaiki penerbangan pada 12 Jun ini.

"Empat orang anak kami juga banyak memberikan kata-kata sokongan dan membantu membuat persiapan ke Makkah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!