Malaysia, Indonesia perkukuh kerjasama jamin bekalan bahan api

Pengarah Urusan TNB Fuel Services Sdn Bhd, Datuk Shamsul Ahmad (kiri) menyempurnakan pertukaran dokumen kontrak dengan seorang daripada pembekal arang batu Indonesia sambil disaksikan Takiyuddin (dua dari kiri) dan Timbalan Menteri Perdagangan Indonesia, Jerry Sambuaga (dua dari kanan) di Kementerian Perdagangan Indonesia baru-baru ini.
Pengarah Urusan TNB Fuel Services Sdn Bhd, Datuk Shamsul Ahmad (kiri) menyempurnakan pertukaran dokumen kontrak dengan seorang daripada pembekal arang batu Indonesia sambil disaksikan Takiyuddin (dua dari kiri) dan Timbalan Menteri Perdagangan Indonesia, Jerry Sambuaga (dua dari kanan) di Kementerian Perdagangan Indonesia baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia mengukuhkan kerjasama dengan Indonesia bagi menjamin bekalan bahan api demi memastikan kestabilan sumber penjanaan tenaga elektrik di negara ini, selain meneruskan agenda menyokong peralihan tenaga ke arah memastikan masa depan lebih mampan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerjasama antara pembekal arang batu Indonesia dengan pengimport di Malaysia adalah penting bagi menjamin bekalan tersebut dapat memenuhi keperluan dalam tempoh menuju negara neutral karbon menjelang 2050.

"Pada masa sama, ia menterjemahkan semangat kerjasama antara Indonesia dan Malaysia sebagai negara tetangga untuk kemakmuran rakyat dan ekonomi di kedua-dua negara.

"Kerjasama ini juga merupakan indikator hubungan akrab dan istimewa antara Malaysia dan Indonesia yang semakin kukuh," katanya.

Beliau berkata demikian sebelum bersama-sama dengan Timbalan Menteri Perdagangan Indonesia, Jerry Sambuaga menyaksikan pertukaran dokumen kontrak antara sembilan pembekal arang batu Indonesia dengan anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Fuel Services Sdn Bhd (TNBF) di Kementerian Perdagangan Indonesia, Jakarta baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin; Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Mohamad Razif Abd Mubin; Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Abdul Razib Dawood; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din.

Indonesia adalah negara pembekal utama arang batu Malaysia diikuti Australia, Rusia dan Afrika Selatan.

Sebanyak 21.9 juta tan metrik arang batu dibekalkan oleh Indonesia kepada Malaysia pada 2021 dengan nilai kontrak AS$2.5 bilion.

Takiyuddin dalam masa sama turut berharap kerjasama itu mencapai matlamat seperti yang diharapkan terutama kestabilan bekalan elektrik yang memainkan peranan penting untuk memajukan kembali ekonomi yang terkesan akibat Covid-19.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!