Pelajar derita jantung berlubang sebesar syiling 50 sen
SEGAMAT - Seorang pelajar lelaki menghidap penyakit jantung berlubang memerlukan dana sebanyak RM65,000 bagi menampung kos pembedahan yang perlu dilakukan segera di Institut Jantung Negara (IJN).
Menurut ibunya, Norizan Marsandi, 46, doktor memberitahu saiz lubang di jantung anaknya, Muhammad Raeez Ramadhan Mohd Zulkiflee, 13, kini bersaiz sebesar syiling 50 sen dan dikhuatiri membesar jika pembedahan tidak dilakukan segera.
"Saya risau dengan keadaan Muhammad Raeez Ramadhan sekiranya pembedahan lambat dilakukan.
Kalau boleh saya mahu dia yang dikesan menghidap sakit jantung berlubang sejak berusia enam bulan mendapat rawatan pembedahan segera kerana keadaannya semakin hari semakin lemah dan tidak seceria dulu.
"Muhammad Raeez Ramadhan akan cepat penat selain kuku dan bibirnya akan selalu biru.
Sebelum ini pihak hospital ada memasukkan alat pada leher untuk bantuan pernafasan selain mencabut 12 batang giginya pada 22 April 2015 untuk tujuan pembedahan.
Dia kini mendapat rawatan di Hospital Daerah Segamat (HDS) dan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
"Kos pembedahan sebelum ini hanya RM15,000 tetapi kini sudah mencecah RM65,000," katanya ditemui di Kampung Paya Lang, Batu Anam, di sini pada Jumaat.
Tambahnya, Muhammad Raeez kini meneruskan kehidupan seperti biasa dan hadir dalam kelas pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Pogoh, di sini.
Norizan berkata, dia tidak mampu membiayai kos pembedahan Muhammad Raeez Ramadhan dengan pendapatan sebagai peniaga makanan selain perlu menanggung lima anak yang lain.
Sehubungan itu, mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam (01078020381310) atas nama Norizan Marsandi atau boleh berhubung dengannya menerusi talian 011-3554 2726.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!