Agong berkenan solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Jumaat berkenan menunaikan solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini.
Al-Sultan Abdullah berangkat tiba di masjid itu pada 1.07 tengah hari disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan beberapa menteri.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Sejurus ketibaan, Seri Paduka Baginda kemudiannya menyertai jemaah masjid untuk mendengar khutbah bertajuk ‘Dirgahayu Tuanku, Rahmat Selalu’ yang disampaikan Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan Muhyidin Aziz @ Saari.
Khutbah bersempena Hari Keputeraan Rasmi Al-Sultan Abdullah pada Isnin ini menyentuh mengenai amalan sistem Raja Berperlembagaan yang meletakkan Yang di-Pertuan Agong pada kedudukan paling tinggi dan memiliki fungsi melindungi agama serta negara selain menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan seluruh masyarakat.
"Alhamdulillah, kita dikurniakan seorang sultan berjiwa rakyat yang menyempurnakan amanah pemerintahan dengan sifat-sifat insani dan berusaha memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat diutamakan dalam apa-apa jua situasi."Semoga kebijaksanaan pimpinan seorang sultan akan diperkukuhkan dengan nasihat barisan ulama yang tegas dan barisan umara (pemerintah) yang ikhlas, akan didukung dengan ketaatsetiaan rakyat yang hidup harmoni dan lebih utama dilimpahi cahaya petunjuk Ilahi,” kata Muhyidin.
Beliau berkata, Malaysia juga melihat kebijaksanaan Seri Paduka dan Raja-Raja Melayu yang mengambil beberapa keputusan bijak menstabilkan negara dalam menghadapi kemelut politik dan cabaran ketika negara menghadapi pandemik Covid-19.
"Syukur kepada ALLAH SWT, institusi diraja memayungi kita dengan keadilan dan kebijaksanaan dalam memastikan keamanan, dapat dinikmati seluruh rakyat.
"Maka, sewajarnya kita menumpahkan seluruh ketaatan dan kesetiaan sesuai prinsip asas Rukun Negara yang kita lafazkan sebagai warganegara,” katanya.
Mengakhiri khutbah itu, beliau memberi beberapa pesanan kepada jemaah supaya meneruskan hubungan baik antara rakyat dan pemerintah dengan masing-masing saling mendoakan bersesuaian tuntutan agama selain menjauhkan diri daripada perbuatan jahat dan sangkaan buruk terhadap pemerintah serta masyarakat.
Selesai solat, Seri Paduka berkenan beramah mesra, bersalaman serta berswafoto dengan beberapa jemaah sebelum berangkat pulang ke Istana Negara kira-kira 2.15 petang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!