Bekas diplomat, anak didakwa miliki, edar dadah

Tertuduh, Zainal Abidin (dua dari kiri) dan Mohamed Rizal (dua dari kanan) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bentong pada Jumaat.
Tertuduh, Zainal Abidin (dua dari kiri) dan Mohamed Rizal (dua dari kanan) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bentong pada Jumaat.
A
A
A

BENTONG - Bekas diplomat bergelar Datuk dan anaknya dihadapkan di Mahkamah Majistret Bentong pada Jumaat atas tuduhan memiliki dan mengedar dadah.

Tertuduh, Zainal Abidin Alias, 78, dan anaknya Mohamed Rizal Zainal Abidin, 53, didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Shahrul Ekhsan Hashim.

Kedua-dua tertuduh juga berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 9 akta sama yang boleh dipenjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Dalam pada itu, Mohamed Rizal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 15(1) (a) ADB 1952 yang boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mengedar dadah disyaki jenis ganja seberat 1,020 gram di Lot 5718 Kampung Sum Sum Hilir Janda Baik di Bentong pada jam 6.10 petang 21 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B (1) (a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua tertuduh juga pada waktu dan tarikh yang sama didakwa telah menyimpan minyak ganja seberat 60 mililiter yang boleh dihukum di bawah Seksyen 9 (1)(b) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 9(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mohamed Rizal turut dituduh menggunakan dadah jenis '11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid' dengan cara salah dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen Seksyen 15 (1) ADB 1952 dan dibaca bersama Seksyen 38 B ADB.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Mohammad Khalid Ab Karim bersama Timbalan Pendakwa Raya, Hayda Faridzal Abu Hasan dan S. Punitha manakala tertuduh diwakili peguam Rahmat Hazlan, Tania Scivetti dan Kamil Azman.

Shahrul Ekhsan kemudiannya menetapkan 13 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, bekas diplomat itu ditahan ketika serbuan polis di rumahnya pada 21 Mei lalu dengan penemuan 102 pokok disyaki pokok ganja ditanam sekeliling rumah manakala anaknya pula ditahan dua hari kemudian di Shah Alam, Selangor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!