Serangan tembakan 'makin gila' di AS

Anggota polis berada di lokasi serangan tembakan di lot parkir di sebuah gereja di Iowa pada Khamis. - Foto Agensi
Anggota polis berada di lokasi serangan tembakan di lot parkir di sebuah gereja di Iowa pada Khamis. - Foto Agensi
A
A
A

AMES - Amerika Syarikat (AS) sekali lagi digemparkan dengan dua insiden serangan tembakan pada Khamis.

Serangan tersebut berlaku tidak lama selepas Presiden Joe Biden menyampaikan ucapan utama tentang keganasan senjata api sebagai respons terhadap insiden di Buffalo, New York; Uvalde, Texas dan Tulsa di Oklahoma yang meragut lebih 20 nyawa sejak beberapa minggu lalu.

Menurut polis, dua wanita maut ditembak di kawasan parkir sebuah gereja di Iowa sebelum suspek menembak mati dirinya sendiri.

“Insiden itu berlaku di luar Gereja Cornerstone di timur bandar Ames ketika satu program sedang diadakan di rumah ibadat tersebut.

“Kami telah melancarkan siasatan untuk mengetahui motif serangan,” kata Timbalan Ketua Pejabat Syerif Daerah Story, Nicholas Lennie yang tidak memberikan butiran lanjut tentang identiti atau sama ada ketiga-tiganya ada kaitan antara satu sama lain.

Satu lagi kejadian berasingan dilaporkan di tanah perkuburan Graceland di Wisconsin ketika upacara pengebumian Da’Shontay L King Sr yang maut ditembak polis kerana enggan memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa berhubung siasatan kes senjata api pada Mac lalu.

“Beberapa bunyi tembakan kedengaran di kawasan itu pada jam 2.26 petang (waktu tempatan). Pihak berkuasa masih menyiasat untuk mengenal pasti jumlah sebenar mangsa,” ujar Jabatan Polis Racine.

Sementara itu, media tempatan mendakwa lima individu cedera dalam insiden itu dan tiada tangkapan suspek dibuat setakat ini.

TMJ4 News melaporkan kesemua mangsa dipercayai adalah saudara kepada si mati.

Sehingga kini, sebahagian besar anggota Parti Republikan menolak pelaksanaan undang-undang senjata api yang lebih ketat selepas sembilan senator mengadakan mesyuarat untuk membincangkan tindak balas yang perlu terhadap isu berkenaan.

Biden yang mengulangi rayuan beliau turut mengutuk keengganan majoriti senator Republikan sebagai ‘tindakan yang tidak wajar’.

Pemimpin Majoriti Senat Republikan, Mitch McConnell berkata, para senator sedang menilai masalah tersebut yang didakwa sebagai penyakit mental dan keselamatan sekolah serta bukan berpunca daripada pasaran dan pemilikan senjata api yang tidak terkawal di negara itu.

Ketika ini, Dewan Perwakilan berhasrat untuk meluluskan Akta Melindungi Anak-anak Kita pada minggu depan walaupun berdepan kesukaran untuk melaksanakan undang-undang senjata api lebih ketat di peringkat persekutuan. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!