Dua lelaki ditahan miliki dadah, pistol tiruan
KUALA LUMPUR - Dua lelaki ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Cheras, Batu 5 di sini pada Khamis kerana memiliki narkotik terlarang dan sepucuk pistol tiruan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, dalam serbuan pada jam 11.55 malam itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Cheras menemui sepeket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis methamphetamin seberat 0.25 gram (g).
"Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan serbuan telah berjaya merampas satu beg warna hijau yang mengandungi sepucuk pistol warna hitam dipercayai tiruan tanpa kelopak jenama
‘WET’ di dalam kabinet dapur rumah tersebut.
"Kedua-dua suspek merupakan lelaki tempatan berusia 31 dan 46 tahun yang memiliki beberapa rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah ditahan pasukan serbuan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, ujian air kencing terhadap suspek mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis amphetamin dan methamphetamin.
Katanya, kedua-dua suspek direman sehari bermula Jumaat di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
"Kes turut disiasat di bawah Seksyen 12(2) (memiliki dadah) dan 15(1)(a) (memasukkan dadah ke dalam badan) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!