'Bukan laluan mudah untuk kami' - Aaron
ATAS kertas ia mungkin satu undian yang memihak kepada Aaron Chia-Soh Wooi Yik, namun lawan mereka di pusingan pertama Terbuka Indonesia dari 14-19 Jun, tidak boleh dipandang mudah.
Pasangan nombor enam dunia itu akan berhadapan pasangan senegara Man Wei Chong-Tee Kai Win, yang berada di ranking ke-37 dunia pada perlawanan berlangsung di Stadium Istora Senayan, Jakarta.
Walaupun berkedudukan lebih tinggi berbanding pihak lawan, Aaron berkata, mereka tidak boleh memandang mudah terhadap keupayaan Kai Wun-Wei Chong, apabila mereka berhadapan satu sama lain di Indonesia.
"Kami tidak pernah bertemu dalam mana-mana kejohanan sebelum ini. Mereka mempunyai kekuatan pada serangan dan juga bertahan yang agak mantap. Ia bukanlah suatu yang mudah untuk berhadapan rakan sepasukan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini, pada Jumaat.
Dalam masa sama, pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo itu berkata mereka kini menumpukan kepada cara untuk mengatasi kelemahan mereka, sebaik mereka pualng dari Terbuka Thailand, baru-baru ini.
Sementara itu, mengenai Sukan Komanwel, Aaron memberitahu bahawa masih belum sebarang makluman daripada pihak kejurulatihan mengenai sesiapa yang akan mewakili negara di Birmingham, United Kingdom, bulan hadapan.
Bagaimanapun, pemain berasal dari Melaka itu percaya, mereka mungkin berpeluang untuk bermain dalam Sukan Komanwel mereka yang pertama, sesuai dengan kedudukan mereka sebagai pasangan beregu terbaik negara.
Sukan Komanwel 2022 akan berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!