Sambutan Jelajah AKM Terengganu amat menggalakkan
KUALA NERUS - Sambutan yang diberikan oleh masyarakat khususnya penduduk di negeri ini terhadap Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Terengganu amat menggalakkan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ia dapat dibuktikan dengan kehadiran pengunjung yang memenuhi setiap acara dan reruai yang dilaksanakan termasuk oleh Kementerian Pendidikan (KPM) yang menjadi peneraju bagi siri jelajah kali ini.
"Pagi tadi pun acara ‘Fun Ride’ dan pelbagai lagi aktiviti dijalankan menerima kehadiran yang ramai. Juga semasa segmen #tanyaDRJ di reruai KPM ramai yang bertanyakan soalan kepada saya.
Jadi apa yang dapat saya katakan sambutan diberikan masyarakat secara keseluruhannya amat baik,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan segmen #tanyaDRJ di reruai KPM di Jelajah AKM Terengganu di Kompleks Sukan Negeri, di sini pada Jumaat.
Radzi berkata, pihaknya menjangkakan kedatangan pengunjung yang lebih ramai pada esok memandangkan cuti hujung minggu dan akan lebih meriah dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan merasmikan Majlis Penutupan Jelajah AKM Terengganu.
Jelajah AKM adalah kesinambungan kepada penganjuran 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia diadakan di 14 lokasi di seluruh negara dengan pengisian program berbentuk perkhidmatan kepada rakyat.
Objektif program berkenaan adalah bagi memastikan rakyat di semua peringkat dapat memahami dan menghayati konsep Jelajah AKM dengan lebih jelas yang menitikberatkan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!