Cuaca panas, kering sehingga September

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan musim Monsun Barat Daya yang bermula pada 14 Mei lalu sehingga September ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan.

MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata dalam tempoh itu, kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak daripada bilangan hari hujan.

Bagaimanapun MetMalaysia meramalkan hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi.

Garis badai adalah garisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam.

"Pada bulan ini (Jun), kebanyakan negeri di Semenanjung akan menerima hujan pada paras purata antara 100 milimeter (mm) hingga 250 mm kecuali di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Dalam pada itu, Kuala Lumpur, Putrajaya, Cameron Highlands dan sebahagian Negeri Sembilan, Melaka serta Kelantan dijangka menerima hujan sedikit di bawah purata iaitu sekitar 50 milimeter (mm) hingga 200 mm.

"Pada Julai, Semenanjung Malaysia dijangkakan akan menerima hujan pada paras purata antara 50 mm hingga 300 mm.

Negeri Sarawak dijangka menerima hujan pada paras purata antara 150 mm hingga 350 mm kecuali di Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Betong yang dijangkakan menerima hujan sedikit melebihi purata iaitu antara 250 mm hingga 300 mm," kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu lagi, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pula dijangka menerima hujan pada paras purata antara 100 mm hingga 350 mm.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!