GST: Jangan bebankan rakyat tambah pendapatan negara

Kajian mendalam dan terperinci perlu dilakukan sebelum mengembalikan semula GST agar pelaksanaannya dapat diterima semua pihak. (Gambar Kecil) Muhammed Ismail
Kajian mendalam dan terperinci perlu dilakukan sebelum mengembalikan semula GST agar pelaksanaannya dapat diterima semua pihak. (Gambar Kecil) Muhammed Ismail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan diminta tidak mengambil keputusan tergesa-gesa untuk mengembalikan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi tujuan menambah pendapatan negara.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Muslim Malaysia (DPMUM), Muhammed Ismail Abdul Haiyee berkata, cadangan itu perlu ditangguhkan dan dilihat tidak sesuai dilaksanakan ketika ini kerana rakyat sedia terbeban dengan isu kenaikan harga barangan.

Menurutnya, kajian mendalam dan terperinci perlu dilakukan supaya pelaksanaannya kelak dapat diterima semua pihak.

"Pengalaman lepas kita dapat lihat semua produk dalam pasaran alami kenaikan harga sewaktu GST diperkenalkan.

"Namun apabila kerajaan berpatah semula ke sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST), didapati tiada penurunan harga berlaku. Kita bimbang perkara sama akan berulang dan menyebabkan harga barang bertambah naik," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi wawancara khas bersama Nikkei Asia di Tokyo baru-baru ini yang dilaporkan sebagai berkata, kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikan GST sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.

Muhammed Ismail berkata, GST adalah sistem percukaian yang baik dan menyeluruh namun sejauh mana kerajaan bersedia untuk memastikan sistem itu dapat dilaksanakan dengan baik.

"Setiap tindakan saling berhubung kait, jika satu diusik semua akan terkesan seperti yang dilihat melalui gaji minimum RM1,500. Walau hanya naik sedikit tapi semua barang naik disebabkan kos operasi bertambah.

"Langkah kerajaan mahu tambah pendapatan itu bagus tapi jangan sampai bebankan rakyat. Rakyat termasuk peniaga kecil sekarang tengah susah dan jangan ditambah masalah baharu dengan mewujudkan GST, " katanya.

Pada masa sama, beliau turut memuji langkah-langkah yang dilakukan kerajaan dalam membantu rakyat yang dibebani isu masalah bekalan dan kenaikan harga barangan melalui pemansuhan permit import (AP) dan henti eksport bekalan ayam.

Susulan isu masalah bekalan, beliau mencadangkan Malaysia menjadi sebuah negara pengeluar bagi mengurangkan kebergantungan bekalan eksport daripada negara luar.

"Kita perlu meningkatkan kapasiti produk makanan yang mana kita bergantung 60 peratus dari negara luar. Malaysia kaya dengan sumber tanah dan kegunaannya perlu dioptimumkan melalui pertanian dan penternakan.

"Jika ada individu atau organisasi yang ada tanah yang tidak diusahakan maka agensi berkaitan perlu main peranan wujudkan usahasama untuk memajukan tanah tersebut," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!