KPKT lihat pelaksanaan ekonomi kitaran melalui POC
PUTRAJAYA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang melihat pelaksanaan ekonomi kitaran melalui bukti konsep (POC) di beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memperakukan kawasan PBT sebagai ‘Circular City’ atau PBT mampan dalam soal pengurusan sisa pepejal.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, KPKT juga sedang melihat soal insentif di peringkat permulaan serta jangka panjang yang boleh diberikan sebagai galakan kepada semua pihak untuk menjayakan agenda ekonomi kitaran itu.
"KPKT selaku agensi yang menerajui soal pengurusan sisa pepejal di negara sedang melihat satu pelan transformasi menyeluruh pengurusan sisa pepejal untuk kita beralih daripada ekosistem bersifat ‘linear economy’ kepada ‘circular economy’," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kenyataan yang dikeluarkan KPKT itu adalah bersempena lawatan kerjanya ke Jerman bermula 30 Mei lepas bagi melihat inisiatif serta pendekatan yang dapat memperkukuhkan usaha pembangunan agenda ekonomi kitaran dalam pengurusan sisa pepejal di Malaysia.
Ketika di Jerman, Reezal Merican melawat beberapa fasiliti berteknologi tinggi yang menjadi antara pemain utama kepada kejayaan ekonomi kitaran di Jerman iaitu Wurser Emwelt, sebuah fasiliti kitar semula yang cukup komprehensif, serta KLOH iaitu fasiliti kitar semula berteraskan organik/biogas.
Menurut kenyataan KPKT, kedua-dua fasiliti itu mempunyai kapasiti dan teknologi untuk menguraikan sisa domestik atau organik menjadi bahan yang boleh diguna semula, antara lain seperti menjadi baja atau gas sama ada untuk kegunaan sendiri atau dijual secara komersial kepada pengguna.
Menurut kenyataan itu lagi, pasukan KPKT juga mengadakan perbincangan bersama Kementerian Persekutuan Jerman untuk Alam Sekitar, Pemuliharaan Alam Semula Jadi, Perlindungan Nuklear dan Perlindungan Pelanggan yang antara lain membincangkan potensi kerjasama antara Malaysia dengan Jerman dalam pembangunan polisi dan kerangka ekonomi kitaran yang lebih komprehensif.
KPKT berkata, antara langkah yang sedang dilakukan untuk melaksanakan ekonomi kitaran di peringkat kebangsaan adalah penubuhan Majlis Ekonomi Kitaran Negara dan merangka pembangunan Pelan Induk Ekonomi Kitaran bagi sisa pepejal sebagai panduan asas kepada semua pihak.
KPKT juga sedang mengkaji pelaksanaan Extended Producer Responsibility (EPR) iaitu pendekatan meletakkan tanggungjawab kepada pengeluar untuk merawat dan melupuskan produk pascapengguna, yang merupakan amalan lazim di negara maju supaya produk yang dihasilkan dapat dirawat dan dilupus.
KPKT juga sedang meneroka potensi penggunaan teknologi rawatan sisa di punca seperti penggunaan ‘anaerobic digester’ (AD) dan ‘composter’ bagi mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan sampah terutamanya melibatkan sisa makanan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!