Orange Esports, Todak sandaran juarai MSC
PASUKAN sukan elektronik (e-sukan) Orange Esports dan Todak, diharap dapat mempamerkan prestasi cemerlang untuk muncul juara Piala Asia Tenggara Mobile Legends (MSC) 2022 yang berlangsung pada 11 hingga 19 Jun ini.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin harapan itu mampu direalisasikan lebih-lebih lagi Malaysia menjadi tuan rumah kepada kejohanan tersebut buat julung kalinya.
"Saya tahu akan kebolehan mereka dan saya juga memantau dari jauh perkembangan mereka sejak saya di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
"Bermain di tempat sendiri disertai dengan kebolehan atlet kita saya amat yakin mereka boleh menjuarai kejohanan itu kali ini,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran MSC 2022 di Puchong pada Jumaat.
Turut hadir, Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ti Lian Ker dan Ketua Pegawai Eksekutif ESports Integrated (ESI), Ahmed Faris Amir.
Sebelum itu, pembangun e-sukan mudah alih popular Mobile Legends - Moonton Games dengan kerjasama KBS, melancarkan kejohanan MSC yang memasuki edisi kelima dengan Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia, sebagai venue pertandingan.
Sejumlah 12 pasukan mewakili tujuh negara bakal bersaing dalam kejohanan tersebut, dengan perlawanan pusingan awal bermula pada 11 Jun sebelum dua pasukan terbaik, bertemu dalam pusingan akhir pada 19 Jun ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!