Persediaan PRU15 perlu rangkumi pelbagai aspek: Bung Moktar

Persediaan untuk menghadapi PRU15 harus merangkumi pelbagai aspek. Gambar kecil: Bung Moktar
Persediaan untuk menghadapi PRU15 harus merangkumi pelbagai aspek. Gambar kecil: Bung Moktar
A
A
A

KOTA KINABALU - Persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) harus merangkumi pelbagai aspek termasuk keupayaan sumber, persiapan jentera dan strategi untuk menundukkan lawan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pelbagai aspek perlu diteliti sebelum BN khususnya di Sabah benar-benar bersedia untuk menghadapi PRU15.

"Pelbagai aspek perlu diteliti untuk BN agar benar-benar berada dalam kedudukan bersedia untuk menghadapi PRU15 kerana matlamat utama kita adalah mengambil alih semula pemerintahan negara," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu bahawa beliau tidak akan melengahkan, walau sedetik pembubaran Parlimen sebaik sahaja BN sudah benar-benar bersedia.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berharap persediaan jentera BN khususnya di Sabah perlu dipertingkatkan dan menganggap PRU15 sebagai agenda penting bagi menentukan masa depan parti dan negara.

"Ketika masa semakin hampir untuk menghadapi PRU15 ini, segala gerak kerja dan persiapan perlu diperkemaskan sebaiknya.

"Selain kekerapan turun padang mendekati rakyat, daftar pengundi perlu dikemas kini termasuklah pengundi muda 18 tahun yang turut mempengaruhi bentuk sokongan kepada BN. Justeru pendekatan yang sesuai kepada golongan ini perlu diselaraskan agar mereka berpihak kepada BN," katanya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu turut mengingatkan jentera dan anggota parti BN di Sabah agar tidak berada di zon selesa walaupun telah melihat dua kemenangan BN dalam Pilihan Raya Kecil Melaka dan Johor kerana situasi dan sikap pengundi adalah berbeza.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!