Orkid sumbang nilai eksport negara RM417.3 juta
INDUSTRI florikultur terutamanya bunga orkid menjadi salah satu penyumbang kepada nilai eksport negara apabila sebanyak RM417.3 juta berjaya direkodkan tahun lalu.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, nilai tersebut menunjukkan peningkatan berbanding RM403 juta pada tahun sebelumnya.
"Usaha memperluaskan pasaran produk florikultur kini giat dijalankan ke pasaran sedia ada dan baharu melalui perundingan dua hala serta penyertaan aktif dalam ekspo florikultur, landskap serta pelancongan.
"Sektor ini akan kekal sebagai teras ekonomi dan pemangkin kepada perkembangan pengeluaran orkid, flora dan herba negara," katanya selepas merasmikan Pesta Orkid, Flora dan Herba 2022 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung di sini pada Jumaat.
Hadir sama Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau Dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.
Menurutnya, pengeluaran bunga-bungaan negara dianggarkan berjumlah 414 juta keratan atau pasu dengan nilai RM270 juta pada tahun lalu.
Beliau berkata, permintaan yang semakin meningkat di pasaran global dalam industri florikultur pastinya memberi peluang kepada pengeluar tempatan untuk terus meneroka dan membangunkan ruang pasaran baharu.
Ahmad berkata, ia sekaligus dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara dari segi pengwujudan pendapatan dan kesan limpahan positif kepada pelbagai sektor lain.
"Pihak kementerian akan sentiasa berusaha memajukan sektor florikultur negara bagi menjadikannya sebagai salah satu bidang yang menguntungkan dan mempunyai masa depan cerah.
"Malaysia mempunyai kelebihan dari segi kekayaan biodiversiti berupaya menjana dan meningkatkan sumbangan industri florikultur negara," katanya.
Menurutnya, pihak kementerian bersama jabatan dan agensi di bawah sentiasa berusaha untuk menyasarkan pembangunan usahawan dalam sektor florikultur.
Beliau berkata, keupayaan untuk melihat perubahan pada masa hadapan merupakan satu kelebihan tidak ternilai sekiranya ia dimiliki oleh usahawan tani biar pun menghadapi risiko yang tinggi.
Katanya, pengurusan cekap serta dibantu dengan strategi pemasaran berkesan akan membolehkan pelaburan dalam bidang florikultur memberi pulangan yang baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!