Rugi RM1 juta ditipu syarikat perunding ubah suai dalaman

Mangsa (dua, kiri) ketika sidang media di Wisma BU8, hari ini.
Mangsa (dua, kiri) ketika sidang media di Wisma BU8, hari ini.
A
A
A

BANDAR UTAMA - Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan terhadap sebuah syarikat perunding rekaan dalaman yang dipercayai menjalankan sindiket penipuan bagi mengaut keuntungan dengan cara mudah.

Difahamkan, modus operandi sindiket didalangi oleh dua individu itu menyasarkan pembeli rumah baharu yang ingin mengubah suai dalaman kediaman.

Ahli sindiket berjanji kepada mangsa lelaki untuk menyiapkan proses pengubahsuaian berkenaan dengan segera dan turut mengeluarkan sebut harga melebihi RM27,000.

Mangsa berusia 57 tahun itu berkata, sebut harga tersebut merangkumi kerja-kerja ubahsuai dapur, ruang tamu, ruang makan, dua bilik air dan perpaipan.

"Pada mulanya mereka mula kerja dengan baik dan cepat namun selepas itu pihak berkenaan mula minta 50 peratus daripada bayaran keseluruhan tapi saya tak setuju dan hanya beri bayaran RM5,000 melalui cek.

"Kemudian pada April 2018 dia minta lagi bayaran sebanyak RM10,000 dan saya hanya jelaskan kepadanya tanpa sebarang perasaan sangsi," katanya.

Menurutnya, dia mula merasa pelik apabila mendapati tiada sebarang perkembangan kerja yang positif di kediaman baharunya itu yang terletak di Bukit Rahman Putra walaupun bayaran sudah dibuat.

"Mereka berjanji selesaikan kerja ubahsuai sebelum Tahun Baru Cina tahun ini tapi tiada perkembangan positif. Mereka ada juga minta bayaran lagi RM10,000 sebagai bayaran untuk cepatkan proses pembinaan.

Artikel Berkaitan:

"Tapi saya beri RM8,000 saja dan selepas saya buat bayaran, sampai sekarang kerja-kerja ubahsuai itu masih belum selesai. Pelbagai alasan diberikan," katanya.

Dia berkata, hasil semakannya juga dapati mereka turut berselindung menerusi beberapa nama syarikat lain dan di kawasan itu terdapat lima pemilik rumah yang turut menjadi mangsa.

Dalam pada itu, Setiausaha Parti Gerakan Selangor, Chai Ko Thing berkata, mangsa-mangsa terlibat membuat laporan polis berhubung kes itu dan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan RM1 juta.

"Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan serius perkara ini memandangkan ia melibatkan penipuan dan bukan lagi membabitkan undang-undang sivil. Jika kita tengok, mangsa yang ditipu kebanyakkan berdepan modus operandi sama.

"Ini adalah satu sindiket penipuan. Sehingga sekarang pihak terbabit masih bebas dan tiada tindakan dapat dikenakan walaupun laporan polis sudah dibuat," katanya.

Menurutnya, orang awam di luar sana juga dinasihati supaya lebih berhati-hati supaya tidak terpengaruh dengan pujukan manis wakil syarikat yang cuba mengaut keuntungan dengan cara mudah.

"Selain pemilik rumah, kontraktor turut menjadi mangsa apabila tidak mendapat bayaran daripada pihak terbabit dan kita minta semua pihak berhati-hati dengan sindiket ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!