Gaji minimum: Kesal hak 'pak guard', pekerja pembersihan dinafikan
SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terkilan dengan pihak yang menafikan hak pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan sekolah untuk mendapatkan gaji minimum RM1,500 seperti mana diumumkan kerajaan baru-baru ini.
Beliau berkata, adalah sesuatu yang mendukacitakan berikutan bidang kawalan keselamatan dan kerja pembersihan merupakan satu elemen penting dalam operasi sekolah
“Mereka menjaga keselamatan murid dan guru serta memastikan persekitaran yang bersih di sekolah.
“Mereka memastikan keselamatan anak-anak semasa tiba dan pulang dari sekolah dan membersihkan kotoran untuk keselesaan warga sekolah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Sabtu.
Mengulas lanjut beliau mengingatkan bahawa sekolah sudahpun kembali beroperasi pada kapasiti penuh dan peranan pengawal keselamatan amat penting untuk memastikan kelancaran operasi sekolah.
Jelasnya, kes demam denggi dilaporkan kian meningkat di seluruh negara yang antara lain berpunca daripada persekitaran tidak bersih.
Ahmad Zahid berkata, antara alasan diberikan dalam kontrak perjanjian antara syarikat kontraktor dengan kerajaan adalah masih berdasarkan gaji minimum yang lama.
Menurutnya, menelusuri punca kekalutan tersebut, pihak kementerian berkaitan seharusnya mempunyai perancangan untuk mendepaninya sebelum pelaksanaan gaji minimum RM1,500.
“Sepatutnya perihal kontrak dan gaji minimum telah pun mencapai keadaan menang-menang untuk semua pihak berkepentingan kerana kemelut seperti itu tentunya mudah untuk dijangka.
“Jangan kerana dalam ketaksuban mengutamakan dasar-dasar yang populis, perihal asas yang penting seperti ini terlepas pandang.
“Kita bimbang implikasi buruknya sekolah berdepan kesukaran mendapat pengawal keselamatan dan petugas kebersihan akibat ramai sudah tidak berminat. Kepesatan ekonomi gig menyebabkan ramai golongan majikan sedang berdepan kesukaran mendapat pekerja. Maka berhati-hatilah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!