Kekalahan kepada Belanda dedah kepincangan Belgium
KEKALAHAN 1-4 kepada Belanda pada aksi Kumpulan D, Liga Negara-Negara UEFA dilihat sebagai satu ‘keperluan’ buat Belgium dalam melakukan persiapan untuk ke Piala Dunia Qatar 2022, November depan.
Menurut pengendali Belgium, Roberto Martinez, kekalahan berkenaan telah mendedahkan banyak kepincangan yang ada pada skuad yang terkenal dengan gelaran Red Devils itu.
“Inilah yang kita perlukan sebagai persediaan untuk mengharungi Piala Dunia nanti...walaupun keputusannya agak memalukan tetapi ia memberikan petanda bahawa masih banyak ‘kerja’ yang perlu kita lakukan.
“Piala Dunia hanya akan bermula pada November, tetapi kita hanya ada 17 hari untuk melakukan persiapan.
“Oleh itu, jelas kita perlu terus ‘bekerja’ bagi memastikan pemain kita dapat melakukan persiapan dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, gol Belanda dijaringkan oleh Steven Bergwijn pada minit ke-40, Memphis Depay (minit-51, minit-65) dan Denzel Dumfries (minit-61) manakala gol saguhati Belgium dijaringkan oleh Michy Batshuayi pada masa kecederaan.
Belgium bakal berdepan Kanada, Maghribi dan Croatia bagi baki perlawanan Kumpulan F sebelum beraksi di Piala Dunia Qatar 2022 yang dijadualkan berlangsung mulai 21 November hingga 18 Disember kelak.
Sementara itu, Martinez turut menyatakan rasa bimbang dengan masalah kecederaan yang melanda tonggak serangan, Romelu Lukaku.
Katanya, Lukaku cedera ketika menjalani latihan awal minggu ini dan tidak diturunkan pada aksi berdepan Belanda.
“Ketiadaan Lukaku dilihat memberikan kesan terutamanya kepada jentera serangan pasukan dan menjadikan perlawanan ini lebih sukar buat kita,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!