UMP, HKA kerjasama laksana program Dual-Ijazah Kejuruteraan Elektrik
KUANTAN - Universiti Malaysia Pahang (UMP) memeterai kerjasama dengan Hochshcule Karlsruhe (HKA) Jerman bagi menjalankan program Dual-Ijazah Kejuruteraan Elektrik (Elektronik).
Program dual-Ijazah itu adalah yang ketiga bersama HKA selepas 12 tahun bekerjasama dalam program kejuruteraan mekatronik dan automotif.
Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, kolaborasi itu bakal dimanfaatkan melalui perkongsian akademik, penyelidikan, pertukaran staf dan pelajar serta latihan industri.
Menurutnya, melalui kerjasama itu turut menjadi penanda aras kurikulum akademik program sedia ada seiring dengan teknologi terkini di Jerman.
“Ia seiring dengan usaha UMP bergerak ke arah transformasi digital dan kelestarian hijau khususnya di kedua-dua kampus UMP di Pekan dan Gambang dan negeri Pahang amnya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau sebelum itu hadir menyaksikan majlis menandatangani kerjasama itu antara Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) UMP, Profesor Madya Dr Hamdan Daniyal bersama Presiden HKA, Profesor Dr Ing Frank Artinger sempena lawatan kerja delegasi UMP ke Jerman baru-baru ini.
Turut serta Penolong Naib Canselor, Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat, Profesor Madya Ir Dr Nurul Hazlina Nordin; Pengarah Pusat Usaha Sama Strategik Akademik, Profesor Madya Ts Dr Mohd Ruzaimi Mat Rejab; Pengarah Pusat Penempatan dan Pembangunan Kerjaya, Profesor Madya Saiful Anwar Che Ghani dan Hardyana Mohd Saman.
Dr Abdul Aziz berkata, UMP juga pada masa sama memfokuskan kepada agenda pembangunan mampan (SDG) ke arah kelestarian kampus dan pendigitalan seiring dengan pembangunan masa depan.
"Melalui jalinan kerjasama akademik antara UMP dan institusi pendidikan Jerman ini berjaya mengembangkan model pendidikan kejuruteraan Jerman (Fachhochschule) dalam sistem pendidikan teknikal di negara ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!