Musim haji: Patuhi arahan polis, TH

Imran
Imran
A
A
A

SEPANG - Seramai 70 pegawai dan anggota polis ditugaskan mengawal lalu lintas setiap hari sepanjang ketibaan jemaah haji di Kompleks Tabung Haji (TH) Movenpick.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata, keluarga yang menghantar jemaah haji hanya dibenarkan menurunkan mereka di hadapan kompleks (Movenpick) mengikut papan tanda yang disediakan.

"Ahli keluarga juga diingatkan mematuhi arahan polis petugas dan petugas tabung haji sepanjang tempoh terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Dalam pada itu, Imran berkata, sepanjang pelepasan kumpulan pertama jemaah haji pada Sabtu berjalan lancar.

“Pada jam 9 pagi tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut hadir mengucapkan selamat jalan kepada jemaah.

Media tempatan sebelum ini melaporkan syarikat penerbangan Arab Saudi, Saudia bakal menerbangkan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia ke tanah suci pada Sabtu.

Mereka dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 1.35 tengah hari (waktu Malaysia) dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada 4.55 petang (waktu tempatan).

Menurut jurucakap Tabung Haji, penerbangan terakhir untuk jemaah haji pula dijadualkan pada 3 Julai depan.

Pada 21 April lalu, Sinar Harian melaporkan kerajaan Malaysia membenarkan seramai 14,306 rakyat Malaysia mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci tahun ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!