Seorang lagi nelayan hilang di Ayer Baloi ditemukan lemas

Mayat Abu Bakar dibawa ke jeti nelayan sebaik ditemukan kira-kira jam 9.45 pagi di Kuala Sungai Ayer Baloi, Pontian pada Sabtu
Mayat Abu Bakar dibawa ke jeti nelayan sebaik ditemukan kira-kira jam 9.45 pagi di Kuala Sungai Ayer Baloi, Pontian pada Sabtu
A
A
A

PONTIAN - Seorang lagi nelayan yang dilaporkan hilang selepas keluar menangkap ikan di perairan Ayer Baloi di sini sejak Khamis lalu ditemukan lemas pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, mayat nelayan itu ditemui kira-kira jam 9.45 pagi di Kuala Sungai Ayer Baloi.

Beliau berkata, mayat mangsa, Abu Bakar Mohammad, 51, ditemukan oleh nelayan tempatan yang membantu operasi menyelamat di permukaan dalam keadaan laut surut.

“Sebaik ditemui, mayat mangsa terus dibawa ke jeti berhampiran oleh pasukan penyelamat dengan menaiki bot nelayan kerana keadaan air ketika itu masih surut. Sehingga kini, kita juga masih belum menemui bot yang dinaiki oleh dua mangsa ini.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Pontian untuk tindakan lanjut, sebelum operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.45 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Sabtu.

Pada Jumaat, media melaporkan dua mangsa ini dilaporkan hilang selepas keluar menangkap ikan pada Khamis yang mana salah seorang daripada mereka ditemui terlebih dahulu.

Mayat mangsa pertama, Khalid Mohammad, 71, ditemukan pada jam 12.45 tengah pada Jumaat sementara operasi mencari Abu Bakar disambung sehingga dia akhirnya ditemukan pada Sabtu.

Kedua-dua mangsa berkenaan keluar ke laut kira-kira jam 9 pagi pada Khamis sebelum dilaporkan hilang tanpa dikesan oleh rakan-rakan komuniti nelayan kawasan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!