Petugas TH anjur solat hajat, bacaan Yasin sambut ketibaan jemaah haji

Petugas haji TH di Madinah bersiap sedia untuk menyambut rombongan haji pertama Malaysia di hotel penginapan. Foto FB TH
Petugas haji TH di Madinah bersiap sedia untuk menyambut rombongan haji pertama Malaysia di hotel penginapan. Foto FB TH
A
A
A

MADINAH - Dalam kerancakan melakukan pelbagai persiapan menyambut kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang akan tiba di sini, kira-kira 100 petugas Lembaga Tabung Haji (TH) tetap mengambil peluang melakukan solat hajat secara berjemaah.

Pada malam Jumaat, mereka turut mengadakan bacaan Yasin dan tahlil serta memanjatkan doa agar operasi pengurusan berlangsung dengan teratur.

Majlis tersebut diadakan di surau Ibu Pejabat TH di bangunan Roha Madinah selepas waktu maghrib, dipimpin oleh Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci, Mohd Hishammuddin Mansor.

Sementara itu, Pengarah Operasi Madinah, Mohamed Heikal Mohamed Yusuff berharap urusan operasi haji musim 1443H/2022M berjalan lancar dan semua jemaah serta petugas diberi kesihatan yang baik sepanjang berada di Tanah Suci.

"Pada masa yang sama, majlis ini juga adalah satu ruang untuk para petugas haji baharu dan lama menjalin ukhuwah dalam usaha kita membina satu pasukan bagi menyantuni dhufurrahman (tetamu Allah),” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Kumpulan pertama seramai 295 orang dijadualkan tiba dengan pesawat Saudia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz di Madinah pada jam 4.55 petang (waktu Arab Saudi) pada Ahad.

Pelbagai program ibadat dan ziarah telah diatur TH selama enam hari lima malam untuk para jemaah haji Malaysia sepanjang berada di Madinah sebelum meneruskan perjalanan ke Makkah bagi melaksanakan ibadat umrah pada 10 Jun. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!