Khairy perlu minta maaf pada Parlimen: Kor Ming
SHAH ALAM -Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming meminta Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membuat permohonan maaf kepada Parlimen di atas sikap biadab memanggilnya sebagai ‘taliban’.
Semasa sesi soal jawab lisan di Parlimen pagi semalam, Khairy dengan angkuh memanggil Kor Ming yang sedang mempengerusikan mesyuarat dengan panggilan sedemikian.
Kor Ming berkata, tindakan Khairy melanggar peraturan mesyuarat dan menghina Majlis Mesyuarat secara terbuka.
“Walaupun beliau terpaksa akur dengan perintah timbalan speaker dan menarik balik tohmahan ‘taliban’ tetapi kelakuannya yang tidak senonoh ini telah mencemarkan imej Dewan Rakyat yang mulia.
“Ini adalah kali pertama dalam sejarah Parlimen ada seorang ahli parlimen berkelakuan begitu biadab memanggil Timbalan Speaker Dewan Rakyat ‘taliban’,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya, demi membela martabat institusi Parlimen, Khairy wajib memohon maaf segera. Kegagalan membuat demikian akan mencerminkan watak beliau sebagai seorang wakil rakyat dan pengundi Rembau harus menegur tingkah laku yang tidak senonoh serta melanggar tata susila ini.
Sesi dewan bertukar kecoh apabila Khairy menggelar Kor Ming dengan panggilan sedemikian sehingga akhirnya beliau terpaksa menarik balik tuduhan tersebut.
Sebelum itu, Khairy bertanyakan soalan tambahan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung Bantuan Sara Hidup (BSH) yang disifatkan Kor Ming sebagai satu provokasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!