Potong faedah pekerja satu penderaan: Syed Saddiq

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan segelintir majikan yang memotong faedah pekerja selepas menaikkan kadar gaji minimum RM1,500 merupakan satu penderaan.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berkongsi perkara itu di Facebooknya pada Sabtu berkata, majikan terbabit perlu berunding dengan pekerja sebelum melakukan tindakan itu.

“Ini hak pekerja. Kalau ya pun nak potong, tolonglah rujuk dan runding dengan pekerja.

“Jangan sewenang-wenangnya potong macam tu je.Kalau tak ini satu penderaan,” katanya.

Beliau turut menggesa pekerja yang menerima nasib sama mengemukakan aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

“Laporkan terus ke Jabatan Tenaga Kerja kalau berlaku kepada anda. Tolong kongsi dengan saya pendapat anda,” tegas Syed Saddiq.

Sebelum ini, kerajaan mewartakan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 yang berkuat kuasa pada 1 Mei bagi majikan yang mempunyai lima atau lebih pekerja.

Selain itu, ia turut terpakai kepada majikan yang menjalankan aktiviti profesional yang diklasifikasikan di bawah Klasifikasi Standard Malaysia Pekerjaan (Masco) 2020.

Bagaimanapun, majikan yang mempunyai pekerja kurang daripada lima dikecualikan daripada pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2022 sehingga akhir tahun ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!