Pemandu maut, 8 cedera selepas kereta api laju tergelincir di China
BEIJING - Seorang pemandu maut manakala lapan lagi cedera selepas kereta api berkelajuan tinggi tergelincir dari landasan pada jam 10.30 pagi Sabtu di daerah Rongjiang, Wilayah Guizhou di barat daya China, menurut China State Railway Group Co, Ltd.
Dua daripada gerabak kereta api laju D2809 dalam perjalanan dari Guiyang ke Guangzhou tergelincir dari landasan yang ditimpa batuan runtuh dan lumpur ketika kereta api itu menghampiri stesen Rongjiang, menurut syarikat itu.
Mangsa yang cedera termasuk seorang atendan kereta api dan tujuh penumpang, lapor Xinhua.
Mangsa telah menerima rawatan di hospital berdekatan, manakala 136 penumpang lain telah dipindahkan.
Siasatan berhubung kemalangan sedang dijalankan. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!