Jemaah umrah meninggal dunia akibat komplikasi darah tinggi

Seorang jemaah umrah wanita yang baru tiba di KLIA, Sepang pada Jumaat disahkan meninggal dunia akibat komplikasi darah tinggi. - Foto tular Facebook
Seorang jemaah umrah wanita yang baru tiba di KLIA, Sepang pada Jumaat disahkan meninggal dunia akibat komplikasi darah tinggi. - Foto tular Facebook
A
A
A

SEPANG - Kematian seorang jemaah umrah wanita yang baru sahaja pulang dari Tanah Suci sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada Jumaat dipercayai akibat komplikasi darah tinggi.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian itu pada jam 1.10 tengah hari.

"Kejadian berlaku di laluan Gate 12 KLIA untuk pesawat MH8021.

"Pemeriksaan fizikal tiada kesan yang mencurigakan dan berdasarkan maklumat, mangsa berusia 53 tahun ada menghidap penyakit darah tinggi," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata, jenazah mangsa telah dibawa ke Hospital Serdang dengan diiring pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) KLIA untuk tindakan lanjut.

Pada Sabtu, media melaporkan jemaah umrah tersebut rebah dan pengsan sejurus keluar dari pintu pesawat.

Menurut mutawif, jenazah telah selamat diuruskan dengan kerjasama baik dari kru Malaysia Airlines, kakitangan dan polis KLIA.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!