Sumareh, de Paula 'tembus' Harimau Malaya

Sumareh (kiri) dan De Paula
Sumareh (kiri) dan De Paula
A
A
A

DARIPADA tiga pemain naturalisasi, hanya Liridon Krasniqi gagal 'menembusi' skuad Harimau Malaya bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia 2022 yang akan bermula Rabu ini.

Sebaliknya, dua lagi pemain berstatus naturalisasi - Mohamadou Sumareh dan Guilherme de Paula berjaya 'menambat hati' pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk berada dalam senarai akhir 23 pemain.

Sumareh dan de Paula akan bersama-sama 21 lagi pemain menggalas cabaran Harimau Malaya bagi menghadapi tiga perlawanan menentang Turkmenistan pada 8 Jun, Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun).

Selain Liridon, lima lagi pemain yang tidak berada dalam senarai akhir tersebut adalah Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Afiq Fazail, Kogileswaran Raj, Shahrul Nizam Ros Hasni dan Norshahrul Idlan Talaha.

Pengguguran lima pemain berkenaan bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan mereka tidak diturunkan dalam dua aksi persahabatan menentang Brunei dan Hong Kong sebelum ini.

Sebaliknya, penjaga gol Negeri Sembilan FC, Ahmad Syihan Hazmi yang turut tidak beraksi dalam dua perlawanan pemanas badan tersebut berjaya 'meloloskan' diri dalam senarai akhir 23 pemain.

Dalam satu kenyataan media pada Sabtu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengucapkan terima kasih atas komitmen yang diberikan setiap pemain terbabit sepanjang menjalani kem latihan pusat Harimau Malaya sejak 20 Mei lalu.

"Pemain yang tidak terpilih ini tetap akan berada dalam senarai bersedia sekiranya penggantian pemain perlu dilakukan," menurut kenyataan FAM itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!