Pusat latihan ketiga MPI di Cyberjaya dijangka beroperasi Ogos ini

Dr Chamil Wariya
Dr Chamil Wariya
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat latihan kewartawanan ketiga milik Malaysian Press Institute (MPI) di Cyberjaya dijangka mula beroperasi seawal Ogos ini.

Pengerusi MPI Datuk Dr Chamil Wariya berkata, pusat latihan itu akan menempatkan kemudahan studio penerbitan video kamera berbilang untuk latihan kepada wartawan khususnya dalam bidang penyiaran.

Beliau berkata selain latihan, MPI atau mana-mana pihak boleh menggunakan kemudahan itu untuk program bual bicara televisyen selain ruang untuk menjalankan kursus yang ditawarkan MPI.

"Pembelian sebuah lagi pusat latihan akan membantu kita (MPI) meningkatkan usaha dan aktiviti latihan serta kursus kepada wartawan. Kita jangka apabila pusat latihan baharu itu beroperasi, kita boleh laksanakan sekurang-kurangnya dua kursus dalam sebulan,” katanya pada Sabtu.

Sebelum itu, Chamil menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan pusat latihan ketiga itu dibeli MPI pada harga RM870,400 dan akan beroperasi berhampiran dua lagi pusat latihannya di Radius Business Park, Cyberjaya.

"Harga jualan unit tersebut ialah RM1.28 juta, namun pemilik Kumpulan EMKAY, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar memberi diskaun 32 peratus bagi pembelian tersebut sebagai menghargai peranan MPI membangunkan modal insan kewartawanan Malaysia.

"Tan Sri (Mustapha Kamal) juga memberi diskaun istimewa terhadap pembelian dua ruang kerja di Radius pada 2017. Kini MPI memiliki tiga unit ruang kerja di Radius Business Park bernilai sekurang-kurang RM3 juta mengikut harga pasaran,” katanya.

Penyerahan kunci antara wakil Kumpulan EMKAY Wan Syarizman Wan Jaafar dan Chamil disaksikan ahli lembaga pemegang amanah dan majlis pentadbir MPI pada Khamis lalu di ibu negara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!