Bot nelayan tempatan, lima kru warga Myanmar ditahan
KUANTAN - Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim) menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama lima kru warga Myanmar di kedudukan 0.68 batu nautika dari Muara Sungai Kuantan di sini pada Jumaat.
Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, penahanan itu dibuat ketika melakukan rondaan Op Makmur di perairan negara kira-kira jam 10.15 pagi.
Menurutnya, susulan itu lima individu termasuk tekong warga Myanmar berusia antara 22 hingga 27 tahun ditahan selepas mendapati bot terbabit dalam keadaan mencurigakan.
"Pemeriksaan dilakukan mendapati individu terbabit tidak mempunyai permit kerja sah. Kesemua mereka adalah warga Myanmar yang mempunyai pengenalan diri mencurigakan.
"Kita turut merampas peralatan menangkap ikan dan hasil laut yang dianggarkan seberat 730 kilogram," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, barang yang dirampas dibawa ke Jeti Penerpa di sini untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim bagi tindakan selanjutnya.
“Kes ini akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/ 63 kerana disyaki telah melanggar syarat sah lesen dan tidak mempunyai pas kerja yang sah,” katanya.
Sehubungan itu, Kamal Ariffin menggesa komuniti maritim terutamanya nelayan tempatan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan syarat sah lesen serta mengutamakan keselamatan apabila berada di laut.
Beliau juga meminta supaya nelayan menjauhi sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah.
“Jika terdapat sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut komuniti maritim boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!