Penubuhan GRS pastikan Sabah diterajui pemimpin tempatan
KOTA KINABALU - Penubuhan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sangat bertepatan bagi memastikan Sabah diterajui pemimpin yang arif dengan situasi politik tempatan di negeri ini, kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Beliau berkata, pemimpin yang mempunyai kriteria tersebut adalah penting bagi memastikan usaha memacu pembangunan Sabah berada di landasan yang betul dan mampu memberi manfaat kepada rakyat di Negeri di Bawah Bayu ini.
"Sebenarnya penubuhan GRS ada disuarakan dari peringkat pusat sebagai usaha untuk memastikan bahawa politik Sabah kekal diterajui oleh mereka yang lebih faham mengenai suasana di Sabah. Jadi kita Bersatu pusat menyokong penuh penubuhan GRS.
"Ini (gabungan GRS) adalah adalah situasi di mana peringkat Persekutuan, kita ada isu-isu menyebabkan gabungan kita berbeza namun di peringkat negeri boleh dilaksanakan (gabungan lain)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan jentera penerangan Bersatu pada malam Sabtu.
Komponen GRS terdiri daripada Bersatu, serta parti tempatan iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).
Mengulas mengenai perjumpaan itu, Wan Saiful berkata, ia adalah jelajah untuk berjumpa dengan semua jentera penerangan Bersatu Sabah dan telah mengadakan perjumpaan dengan jentera parti di Tawau, Sandakan, Ranau serta Kota Kinabalu.
"Esok saya akan ke Beaufort. Tujuan perjumpaan ini adalah untuk memberi penjelasan kepada mereka mengenai perkembangan terkini parti dan politik di peringkat pusat. Selain itu kita akan bertukar pendapat dan berkongsi maklumat mengenai Sabah," ujarnya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!