‘Terpaksa berjimat, kawal perbelanjaan’

Isteri Zamary mengambil inisiatif berniaga di pasar malam untuk bantu tambah pendapatan keluarga. Gambar kecil: Zamary
Isteri Zamary mengambil inisiatif berniaga di pasar malam untuk bantu tambah pendapatan keluarga. Gambar kecil: Zamary
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerja sambilan perlu dilakukan memandangkan gaji RM1,800 yang diterima tidak cukup untuk menampung perbelanjaan isi rumah bagi mereka yang tinggal di Lembah Klang.

Situasi itu dihadapi pekerja kilang, Zamary Adam, 53, yang memberitahu sejak usia muda, dia telah melakukan kerja sampingan dengan berniaga bagi menyara empat anak dan isteri yang tidak bekerja.

Menurutnya, beban itu menjadi sedikit ringan apabila isterinya mula berniaga topeng muka secara kecil-kecilan di pasar malam baru-baru ini.

“Jika harapkan gaji memang cukup sekadar paras hidung saja memandangkan komitmen hidup tinggi dan ditambah pula dengan kenaikan kos harga barang.

“Sewa rumah RM500, ansuran kereta RM500 dan perbelanjaan seorang anak di universiti mencecah RM500. Tidak dikira lagi perbelanjaan anak yang masih bersekolah, perbelanjaan harian dan kegunaan kecemasan.

“Jika gaji lambat masuk, kita jadi pening kepala, itu sebab kena ada pendapatan sampingan untuk tampung perbelanjaan,” katanya kepada Sinar Ahad.

Jelasnya, kenaikan kos sara hidup menyebabkan mereka sekeluarga perlu berjimat dan mengawal perbelanjaan hingga adakala terpaksa mengikat perut.

“Saya kalau sudah makan berat pada waktu pagi biasanya tengah hari saya hanya minum sahaja dan akan makan nasi selepas pulang ke rumah.

“Benda itu sudah jadi kebiasaan buat saya, dapat berjimat sambil diet,” ujarnya.

Tambahnya, walaupun hidup susah, mereka sekeluarga menekankan pendidikan dan tidak menghalang sekiranya anak-anak mahu menyambung pelajaran.

“Anak sulung saya baharu saja menamatkan pengajian di peringkat diploma dan sedang menunggu panggilan menyambung pengajian di peringkat ijazah sementara anak ketiga pula sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Anak kedua juga berhasrat untuk sambung belajar namun ditangguhkan sementara susulan masalah kesihatan dan faktor kewangan,” katanya.

Dia turut berharap, kerajaan dapat membantu rakyat khususnya yang berpendapatan rendah dengan mengawal harga barangan khususnya bekalan makanan.

Sementara itu, suri rumah, Nur Aliya Hamid, 31, pula mengakui amat terkesan dengan kenaikan kos bekalan makanan ketika ini ditambah pula pendapatan suaminya, Muhammad Baihaqi Yaakob, 39, yang tidak menentu bergantung hari bekerja.

Nur Aliya
Nur Aliya

Nur Aliya memberitahu, suaminya bekerja sebagai pembantu kedai ayam segar di Mergong di sini perlu bergilir-gilir sesama rakan sekerja untuk bekerja disebabkan kekurangan bekalan ayam yang makin meruncing ketika ini.

“Jikalau sebelum ini suami mampu meraih pendapatan sekitar RM1,500 sebulan, namun kini adakalanya berkurangan mencecah sekitar RM1,200 sahaja untuk menampung keperluan kami empat beranak,” jelasnya.

Ujarnya, mereka memperuntukkan sebanyak RM400 untuk duit minyak kenderaan, hutang motosikal (RM300), pendidikan (RM150), bil air, elektrik dan telefon (RM200) serta bakinya untuk barangan keperluan asas.

“Bayangkan, lebihan dari segala perbelanjaan hanya tinggal sekitar RM150 sahaja, mana cukup untuk membeli barangan keperluan dengan kos bekalan makanan seperti ayam, ikan dan sayur-sayuran yang kini semakin naik,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!