Serangan bertubi-tubi bukti kebimbangan terhadap Bersatu
KOTA KINABALU - Serangan bertubi-tubi terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuktikan bahawa parti itu menjadi ancaman kepada parti-parti lain.
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Bersatu sering menjadi tumpuan serangan daripada parti lain di negara ini.
"Bagi saya, ini menunjukkan semua pihak bimbang dengan hakikat bahawa Bersatu yang digabung dengan Pas dan parti-parti lain dalam komponen Perikatan Nasional (PN) semakin lama semakin menerima sokongan oleh rakyat.
"Kita lihat, kita tak cukup menang di Melaka, di Johor tetapi sokongan yang diterima kita meningkat. Jadi bagi saya itu menyebabkan parti-parti lain merasakan bahawa mereka perlu terus menyerang kita bertubi-tubi," katanya pada majlis makan malam di sini, pada Sabtu.
Malah tambah beliau lagi, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara tokoh yang menjadi sasaran utama serangan berkenaan.
"Bagi saya ini bukan satu perkara yang pelik kerana Tan Sri Muhyiddin adalah satu-satunya tokoh yang dilihat boleh menyaingi dan memberi cabaran yang ada kredibiliti dari segi siapa yang akan menjadi Perdana Menteri.
"Jadi bagi parti-parti lain, amat penting untuk membunuh karakter Tan Sri Muhyiddin. Walaupun itu yang mereka cuba lakukan, bagi saya parti kita semakin diterima, kukuh dan kuat dan kita akan terus berusaha memastikan bahawa sambutan diterjemahkan sebagai undi dalam pilihan raya," katanya.
Sementara itu, ditanya pandangan terhadap 'khemah besar', beliau menyatakan bahawa Bersatu bersedia untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang mahu berbincang.
"Bagi kita yang penting ialah kestabilan politik dan pada waktu yang sama kita juga mahu tadbir urus yang baik untuk negara ini.
"Jadi bagi saya biarlah proses rundingan itu berjalan, kita daripada Bersatu bersedia untuk berbincang, tetapi kita juga akan mengusahakan perbincangan.
"Kita menyerahkan kepada Tan Sri Muhyiddin untuk mengetuai usaha tersebut dan beliau dipandu oleh pandangan-pandangan yang diberikan oleh majlis pimpinan tertinggi, tetapi keyakinan kita terhadap Tan Sri Muhyiddin amat berkaliber dan amat berkebolehan untuk membincangkan dan mengusahakan satu platform untuk rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!