Warden dihanyutkan arus deras ditemui terapung
KUALA KANGSAR - Seorang warden yang dipercayai hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika berenang menyeberangi Sungai Perak di Jambatan Sultan Abdul Jalil, Sayong Lembah pada Jumaat ditemukan terapung.
Mayat Mohamad Nor Amirulhamzah Jaafar, 26, ditemui seorang nelayan darat sekitar jam 7.15 pagi ketika dia menjala ikan berhampiran Jeti Nelayan Batu Limbung, Kampung Bendang Kering di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, mayat mangsa dijumpai kira-kira 2 kilometer dari lokasi terakhir mangsa dipercayai hilang.
"Mayat kemudiannya dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.
"Waris telah membuat pengecaman dan mengesahkan mayat tersebut merupakan mangsa yang dicari," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mengulas lanjut, Omar Bakhtiar berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan pada Jumaat ditamatkan sekitar jam 10 pagi.
"Operasi yang berlangsung selama tiga hari melibatkan 36 pegawai dan anggota daripada polis, bomba, Pasukan Polis Marin, Unit Anjing Pengesan (K9) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain dibantu dua penduduk kampung dan empat peserta bot naga.
"Sebanyak sembilan bot digunakan dalam mencari mangsa merangkumi radius sembilan kilometer sehingga ke Hentian Rehat dan Rawat Sungai Perak," katanya.
Media melaporkan mangsa yang juga warden Pusat Rawatan dan Pemulihan Darul Islah di Padang Rengas hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi Sungai Perak.
Kejadian sekitar jam 10 malam itu berlaku ketika mangsa bersama seorang penghuni pusat berkenaan cuba berenang ke seberang sungai selepas gagal memperoleh ikan.
Mangsa bagaimanapun dikatakan hanyut manakala penghuni pusat itu sempat menyelamatkan diri.
Kedua-dua lelaki itu datang ke lokasi berkenaan bersama pengurus dan dua penghuni lain pusat berkenaan untuk menjala ikan pada jam 8.30 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!