Arab Saudi sambut ketibaan kumpulan jemaah haji pertama sejak pandemik
RIYADH - Kumpulan pertama jemaah haji asing tiba di Arab Saudi pada Sabtu, buat julung kalinya sejak penularan pandemik Covid-19.
Kumpulan 358 jemaah haji dari Indonesia itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamed bin Abdulaziz di kota suci Madinah, lapor Agensi Anadolu memetik laporan agensi berita negara SPA.
Arab Saudi mengehadkan ibadah haji hanya kepada jemaah domestik sejak dua tahun lalu berikutan pandemik. Seramai 60,000 jemaah menunaikan haji tahun lalu berbanding sekitar 2.5 juta pada 2019.
Ziarah ke tempat paling suci Islam, Kaabah di kota Mekah, adalah satu daripada lima rukun Islam. Setiap umat Islam diwajibkan menunaikan haji sekurang-kurangnya sekali dalam hidupnya jika berkemampuan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!