Peningkatan kes rasuah dalam kalangan belia mendukacitakan
IPOH - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyifatkan peningkatan kes rasuah dalam kalangan belia dalam tempoh dua tahun sejak tahun 2020 amat mendukacitakan.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, biarpun masalah rasuah itu tidak mengenal golongan tertentu, tetapi penglibatan gejala itu dalam kalangan belia memberi kesan kepada masa depan negara.
Menurut beliau, bukan sahaja kementerian, semua pihak mempunyai tanggungjawab untuk membanteras gejala ini daripada terus menular.
"Ia (rasuah) macam sakit, demam, Covid-19 dan penyakit lainnya tak kira orang, bangsa dan agama. Kalau orang itu tidak ada jati diri yang kuat, tiada rasa takut kepada Tuhan dan sebagainya, tentu akan tetap melakukan kesalahan.
"Cuma saya rasa amat berdukacita kalau orang muda sendiri banyak terlibat dengan rasuah, apakah masa depan negara? Jadi sama-samalah kita banteras gejala rasuah dan salah guna kuasa ini agar masa depan negara lebih terjamin," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Malaysia Sports League Daerah Kinta di Extreme Park Sunway City di sini pada Ahad.
Ahmad Faizal berkata, pelbagai agensi, sekolah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan aktiviti-aktiviti menyedarkan orang ramai tentang bahaya gejala rasuah.
Menurutnya, KBS sendiri telah melancarkan program Kata Dua pada Sabtu untuk golongan belia, bukan sahaja berkaitan rasuah dan penyalahgunaan kuasa tetapi mengenai literasi demokrasi.
Jelasnya, melalui program itu golongan belia diberikan pengetahuan mengenai tanggungjawab mereka untuk mengundi dan terlibat dalam parti politik untuk membina negara.
Pada Sabtu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali mendedahkan, sejumlah 275 belia berusia antara 18 hingga 30 tahun ditangkap atas kesalahan membabitkan rasuah sejak 2020 sehingga Jun 2022.
Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 21 orang berusia antara 18 hingga 23 tahun, manakala 254 lagi berusia antara 24 hingga 30 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!