Bayi perempuan maut tercampak dalam kemalangan

Kenderaan yang dinaiki mangsa rosak teruk akibat kemalangan itu. (Gambar kecil: Mohd Shamsuri)
Kenderaan yang dinaiki mangsa rosak teruk akibat kemalangan itu. (Gambar kecil: Mohd Shamsuri)
A
A
A

MACHANG - Bayi perempuan berusia dua tahun maut manakala lima ahli keluarganya cedera dalam satu kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kampung Banggol Judah, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 10.10 pagi itu, Aufa Nadrah Muhamad Aisa menemui ajal di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari kenderaan pikap jenis Nissan Navara yang dinaikinya bersama keluarga.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Asisten Superintendan Mohd Shamsuri Mohd Zain berkata, kemalangan yang berlaku di Kilometer 10.6 Jalan Machang- Pasir Puteh itu juga menyebabkan lima penumpang kenderaan yang sama cedera.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan jenis Nissan Navara yang dalam perjalanan arah Pasir Puteh -Machang terlanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi dari arah sama yang sedang membelok ke kanan jalan.

Menurutnya, akibat pelanggaran tersebut, kenderaan pikap itu terbalik dan berpusing beberapa kali sebelum terbabas ke laluan bertentangan serta menyebabkan mangsa maut tercampak dan terjatuh ke dalam parit.

"Buat masa ini, siasatan masih dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!