Lesenkan orang tengah dipertimbang

No Image Caption
A
A
A

SERDANG - Idea untuk melesenkan orang tengah bagi mengawal golongan berkenaan daripada mengenakan harga sesuka hati sedang dipertimbang, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata idea melesenkan orang tengah itu timbul setelah kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mendapati orang tengah tidak boleh dihapuskan tetapi pada masa yang sama, terdapat orang tengah yang membawa manfaat.

Salahuddin berkata orang tengah yang mungkin perlu dilesenkan terbabit dalam rantaian industri buah-buahan, sayur dan ikan.

Pada masa ini, katanya tidak ada peraturan yang boleh menghalang orang tengah malah masyarakat tidak mengenali siapa sebenarnya orang tengah.

"Mereka yang hendak ke laut perlu ada lesen, peruncit perlu ada lesen, pemborong juga perlu ada lesen tapi kenapa orang tengah tidak ada lesen," katanya kepada pemberita selepas majlis town hall bersama MARDI di sini hari ini.

Katanya beliau akan membincangkan idea melesenkan orang itu dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan juga Kementerian Dalam Negeri.

Pada sesi town hall itu, Salahuddin berkata kementeriannya sedang merangka satu sistem untuk memperkenalkan tabung amanah pelaburan bagi nelayan dan petani bagi meningkatkan taraf hidup golongan berkenaan.

"Melalui tabung amanah pelaburan kesemua nelayan dan pesawah boleh mendapat keuntungan secara terus," katanya, sambil menambah bahawa cadangan itu akan dibincangkan dengan Permodalan Nasional Bhd. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!