Remaja lelaki maut motosikal rempuh kereta
SABAK BERNAM - Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta di Jalan Parit 2 Timur pada Sabtu.
Dalam kejadian jam 10.50 malam itu, mangsa berusia 16 tahun yang menunggang Yamaha Y125 meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala pemandu kereta Proton Wira berusia 36 tahun tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila pemandu Proton Wira dari arah Sungai Besar ke Bagan Terap memasuki simpang secara tiba-tiba.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta Proton Wira dipercayai secara tiba-tiba masuk ke simpang kanan secara mengejut sebelum dilanggar mangsa dari arah bertentangan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau memberitahu, mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.
Bagaimanapun, katanya, bedah siasat akan dijalankan sebaik menerima keputusan ujian saringan Covid-19 dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!