[VIDEO] Cemburu disyaki motif wanita hamil ditembak mati: Polis
MACHANG - [DIKEMASKINI] Polis Kelantan tidak menolak kemungkinan cemburu menjadi salah satu motif seorang wanita hamil tujuh bulan maut ditembak di perut di Kampung Teresek, Repek di sini pada Sabtu.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, setakat ini polis telah menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang mempunyai hubungan rapat dengan mangsa untuk membantu siasatan.
"Kita telah mendapat perintah tahanan reman selama lima hari bermula Ahad untuk membantu siasatan.
"Suspek telah memberikan kerjasama baik semasa pihak polis mahu menahannya untuk proses siasatan," katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Machang yang baharu antara Deputi Superintendan Mohd Zahir Abdullah dengan Superintendan Mohd Rosli Mat.
Menurutnya, urusan perniagaan turut dilihat menjadi salah satu motif kepada kejadian ini.
Beliau berkata, bagaimanapun siasatan lanjut berhubung kejadian ini sedang dijalankan.
Muhamad Zaki berkata, pihaknya percaya suspek menggunakan pistol jenis separa automatik .380 berpandukan kepada penemuan kelongsong peluru di lokasi.
"Ada dua kemungkinan dalam kes ini pertama mangsa telah ditembak di tempat lain kemudian memandu sehingga ke lokasi penemuan mayat, atau mangsa ditembak di lokasi berkenaan.
"Jarak rumah mangsa dengan lokasi kejadian sejauh 15 kilometer sahaja," katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diseru tampil untuk membantu siasatan.
Sinar Harian Online melaporkan, seorang wanita hamil tujuh bulan maut ditembak di bahagian perut dalam kejadian di Kampung Teresek, Repek di sini pada Sabtu.
Mangsa, Farrah Emirah Mazlan, 26, yang juga seorang peniaga ditemukan dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu dan mempunyai kesan tembakan di bahagian perut sebelah kiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!