Bakal jemaah haji perlu jaga SOP elak dijangkiti Covid-19

Idris (dua dari kanan) bergambar bersama kontinjen Selangor yang muncul juara keseluruhan Kejohanan Memanah MESMA Peringkat Kebangsaan di Arena Emas Skudai pada Ahad.
Idris (dua dari kanan) bergambar bersama kontinjen Selangor yang muncul juara keseluruhan Kejohanan Memanah MESMA Peringkat Kebangsaan di Arena Emas Skudai pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bakal jemaah haji diingatkan sentiasa mematuhi kawalan kendiri dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, termasuk ketika mengadakan kenduri doa selamat, bagi mengelak dijangkiti Covid-19

Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Idris Ahmad berkata, perkara itu diingatkan selepas tiga bakal jemaah haji dalam kumpulan pertama yang dijadual berlepas ke Tanah Suci pada Sabtu didapati positif Covid-19.

"Saya harap bakal jemaah haji lebih berjaga-jaga sewaktu penganjuran kenduri sebelum bertolak, mungkin ada tetamu yang tidak sihat datang bawa virus. Hendak buat kenduri tidak salah.

"Perlu sentiasa jaga SOP, kita bimbang jadual penerbangan bakal jemaah haji akan terjejas. Ini kerana saya dimaklumkan terdapat bakal jemaah haji yang positif, disyaki dijangkiti sewaktu kenduri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Kejohanan Memanah Kejohanan Sukan Sekolah Menengah Agama (MESMA) Peringkat Kebangsaan di Arena Emas Skudai pada Ahad

Idris berkata, bakal jemaah haji tidak perlu bimbang jika mereka didapati positif Covid-19 kerana masih berpeluang untuk mengerjakan haji pada musim ini memandangkan jadual penerbangan terakhir pada Julai.

“Jika mereka positif, mereka ada masa lagi (untuk mengerjakan haji) kerana penerbangan akhir kita (mungkin) pada 2 atau 3 Julai nanti. Sekiranya sudah sihat Insya-ALLAH mereka boleh terbang (ikut kumpulan lain).

"Tidak akan ada (penerbangan tambahan) kecuali satu kapal terbang positif (Covid-19), boleh buat (penerbangan tambahan). Jika seorang atau dua itu mungkin tidak ada masalah, TH boleh uruskan," jelasnya.

Pada Sabtu, Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, tiga daripada 298 jemaah haji kumpulan pertama ke Tanah Suci bagi musim 1443H/2022 disahkan positif Covid-19.

Kumpulan pertama melibatkan 295 bakal jemaah haji Malaysia selamat berlepas ke Tanah Suci pada Sabtu.

Malaysia diberi kuota 14,306 jemaah iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima dan peratusan sama terpakai kepada semua negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!