Baja belum sampai, petani bimbang tanaman padi terjejas

Hasbullah menunjukkan tanaman padinya yang mula tumbuh dan memerlukan baja di Kampung Alor Berala, Mukim Tobiar, Pendang.
Hasbullah menunjukkan tanaman padinya yang mula tumbuh dan memerlukan baja di Kampung Alor Berala, Mukim Tobiar, Pendang.
A
A
A

PENDANG - 80 petani dari Kampung Alor Berala, Mukim Tobiar, dekat sini bimbang tanaman padi diusahakan mereka bakal terjejas berikutan bekalan baja dari bagi tujuan pertanian tersebut masih belum diterima sehingga hari ini.

Petani, Hasbullah Hassan, 65, berkata, mereka mula menabur benih padi pada April lalu dengan harapan baja juga akan mula diperolehi dalam tempoh tersebut.

Bagaimanapun, sehingga kini baja tersebut masih belum sampai sehingga mendatangkan kebimbangan kepada semua petani yang mengusahakan tanaman padi di keluasan 20 hektar sawah.

"Padi mula ditabur pada April lalu kerana bimbang air akan kurang. Kami tidak lagi boleh tunggu baja sampai dulu baru tabur padi.

"Kini anak pokok padi sudah mula membesar namun baja masih belum sampai lagi. Kami bimbang anak pokok padi ini akan terencat dan menganggu tumbesarannya," katanya ditemui pemberita di Kampung Alor Berala, Mukim Tobiar, dekat sini pada Ahad.

Jelasnya, baja sepatutnya ditabur selepas dua minggu benih padi tumbuh namun mereka tidak dapat berbuat demikian kerana baja masih belum diperolehi daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).

Seorang lagi petani, Mat Zohir Shariff,56, berkata, para petani bakal mengalami kerugian pada musim ini sekiranya baja tidak ditabur mengikut tarikh yang ditetapkan.

Menurutnya, rata-rata petani ada yang menggunakan baki baja yang diperolehi pada musim tanaman lalu untuk membantu tumbesaran anak pokok padi namun bekalan agak terhad.

"Baki bekalan baja yang ada dari musim lalu terhad dan tidak mencukupi untuk kerja membaja bagi musim ini. Kami tidak mampu untuk membeli baja dari kedai kerana harganya juga sangat mahal.

"Kini anak benih padi sudah naik sehingga empat inci dan memerlukan baja. Petani di sini akan mengalami kerugian jika pihak Mada gagal menghantar baja seperti tarikh yang dijanjikan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Mohd Fuad Yaacob mengakui masalah bekalan baja yang sedang dialami di kawasan Mada.

Menurutnya, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) telah menyatakan komitmen mengatasi masalah ketiadaan bekalan baja padi untuk diselesaikan dalam tempoh dua minggu ini.

"Semua kilang di Nafas juga dikatakan kini sudah beroperasi 24 jam supaya bekalan baja akan sampai kepada petani secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!