DSA, NATSEC 2020 tangani isu keselamatan dunia: Mohamad Sabu
LANGKAWI - Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (Natsec Asia) 2020 yang akan berlangsung tahun depan, dijangka menjadi antara platform terbaik dalam menangani isu keselamatan serantau dan global, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.
Katanya acara dwitahunan itu dijangka mendepani antaranya isu berhubung keganasan, keselamatan siber, bantuan kemanusiaan dan bencana, misi pengaman dan penjagaan kesihatan di medan perang, serta perlindungan aset kritikal.
“Isu keselamatan negara merupakan isu paling penting kerajaan. Ketika Malaysia dan rantau ini secara amnya menikmati kestabilan sosial dan pertumbuhan ekonomi, isu-isu keselamatan bukan konvensional terus terbentuk dan mempengaruhi sifat ancaman kepada pertahanan dan keselamatan negara.
“Di sinilah inisiatif seperti DSA menyerlah, acara unik ini telah menghimpunkan pemimpin industri, kerajaan, tentera, agensi pertahanan dan keselamatan dalam negeri dari seluruh rantau,” katanya pada sidang media selepas melancarkan DSA dan Natsec Asia 2020, di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa 2019 (LIMA’19) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri, di sini hari ini.
Mohamad berkata DSA dan Natsec Asia akan diadakan dari 20 hingga 23 April tahun depan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia di ibu negara.
“Kerajaan Malaysia menerusi kementerian saya komited sepenuhnya terhadap kejayaan DSA 2020,” katanya.
DSA dan Natsec 2020 akan menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk forum bahan kimia, biologi, radiologi, nuklear dan letupan (CBRNe); persidangan pertahanan dan keselamatann siber; persidangan keselamatan bertemakan keganasan: persidangan meja bulan panglima tentera serta persidangan bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR).
Lebih 1,500 syarikat daripada sektor pertahanan dan keselamatan global dari 60 negara dijangka menyertai acara itu di samping 50,000 pelawat dari 70 negara.
Setakat ini, 40 peratus tempahan ruang telah disahkan sementara tambahan 50 peratus lagi sudah ditempah.
LIMA’19 yang bermula Selasa dan akan berakhir Sabtu ini menyaksikan 406 syarikat - 206 syarikat tempatan dan 200 firma asing - kebanyakannya berkaitan pertahanan mengambil bahagian. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!