Tanam, ternak sendiri bukan perkara aneh

Zabri menunjukkan serai dan pandan yang merupakan sebahagian tanaman ditanam di dalam kawasan rumahnya sebagai menyahut seruan kerajaan untuk bercucuk tanam di kawasan rumah.
Zabri menunjukkan serai dan pandan yang merupakan sebahagian tanaman ditanam di dalam kawasan rumahnya sebagai menyahut seruan kerajaan untuk bercucuk tanam di kawasan rumah.
A
A
A

IPOH - Saranan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad agar rakyat bercucuk tanam dan menternak haiwan bagi kegunaan sendiri bukan sesuatu yang aneh untuk dilaksanakan.

Bekas Pengarah Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) Perak, Datuk Dr Zabri Wahid berkata, ketika Saarani menjadi exco kerajaan negeri yang memegang portfolio pertanian, satu program pertanian telah dirancang melibatkan 800 kampung di Perak dan projek rintis dimulakan di beberapa kampung.

Menurutnya, program menggunakan konsep tanam apa yang dimakan, makan apa yang ditanam selebihnya dijual itu menyaksikan penyertaan menggalakkan dari penduduk kampung dengan mengusahakan tanaman di kawasan rumah masing-masing.

"Pada saya cadangan menteri besar itu bukanlah sesuatu yang aneh untuk dilaksanakan sebab sudah pernah dibuat. Pada dasarnya cadangan itu membawa maksud menggalakkan rakyat memanfaatkan ruang yang ada untuk bercucuk tanam bagi meringankan beban.

"Jadi bila ada orang politik menyindir nak ternak ayam atau tanam di kawasan rumah pangsa atau apartment itu secara logiknya pun memang tak boleh. Tapi sebenarnya sekarang sudah ada teknologi untuk bercucuk tanam di kawasan ruang yang terhad," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Zabri berkata, tanaman menggunakan kaedah hidroponik dan aeroponik boleh digunakan kepada penduduk yang tinggal di rumah pangsa atau apartment jika mereka mahu bersama-sama menyahut saranan kerajaan.

Menurutnya, jenis tanaman pula mestilah sesuai dan mudah ditanam seperti sayur-sayuran berdaun yang boleh dituai hasil dalam masa singkat.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Trong berkata, buah-buahan juga turut boleh ditanam seperti pisang, betik sekaki dan sebagainya.

Jelasnya, terdapat pelbagai teknologi lain mahupun ilmu mengenai pertanian yang boleh diperoleh menerusi internet dan media sosial selain merujuk terus dengan pakar-pakar pertanian di Jabatan Pertanian.

Sementara itu, Zabri berkata, bagi penduduk di kampung pula, mereka boleh menternak haiwan peliharaan seperti ayam, itik, kambing, lembu dan sebagainya untuk kegunaan sendiri.

"Dengan cara ini, penduduk dapat sumber protein yang murah selain menjimatkan perbelanjaan harian dengan ditambah pula tanaman yang diusahakan.

"Bukan itu sahaja, hasil yang diternak atau ditanam sendiri lebih terjamin dan selamat berbanding rpoduk di pasaran kerana kita tahu kadar penggunaan racun atau baja yang digunakan," katanya.

Beliau berharap cadangan tersebut tidak dipolemikkan dan menjadi bahan politik kepentingan individu tertentu sedangkan ia tidak sukar untuk dilaksanakan.

Pada 31 Mei lalu, Saarani dalam satu kenyataan menyarankan supaya rakyat di negeri ini menanam sendiri sayur-sayuran dan memelihara haiwan ternakan untuk kegunaan sendiri susulan kekurangan bekalan makanan yang dihadapi ketika ini.

Bagaimanapun cadangan tersebut menimbulkan polemik dalam kalangan pemimpin politik yang menyifatkan perkara tersebut tidak sesuai dilaksanakan oleh semua rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!